Hati ibu bapa mana tidak gembira apabila satu-satunya puteri di dalam keluarga bakal melangkah ke fasa perkahwinan tidak lama lagi. Perasaan gembira jelas terbayang di wajah Tuan Haji Mohd Rosli Awang dan isteri, Puan Hajjah Haliza Maysuri di majlis pertunangan anak perempuan mereka, Putri pada hujung minggu lalu.

Majlis yang diadakan secara sederhana namun sarat dengan makna bagi meraikan majlis pertunangan antara Putri dan Naim.
Majlis Tertutup
Majlis tersebut telah diadakan secara tertutup di kediaman pihak perempuan, di mana ia hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sebagai tanda kesederhanaan dan keberkatan dalam mengikat janji dua hati.

Menurut Puan Hajjah Haliza Maysuri, Putri dan Naim mula berkenalan ketika kedua-duanya menuntut di United Kingdom. Pertemuan yang bermula sebagai rakan pengajian, akhirnya mekar menjadi sebuah hubungan yang direstui kedua-dua keluarga, seterusnya dibawa ke fasa yang lebih serius iaitu mengikat tali pertunangan.

Bagi melancarkan urusan majlis, pihak keluarga perempuan diwakili oleh Imam Zaidi dalam sesi perbincangan rasmi, atas kepercayaan dan persahabatan yang terjalin erat bersama keluarga.
Rahsia Wang Hantaran
Dalam adat yang dijunjung, kedua-dua pihak telah bersetuju dengan hantaran sebanyak tujuh berbalas lima, manakala mas kahwin ditetapkan mengikut kadar negeri Selangor iaitu RM300. Nilai wang hantaran pula dipersetujui untuk dirahsiakan sebagai tanda menjaga adab dan kesederhanaan.
Hantaran gubahan Man Kajang menjadi pilihan pasangan ini dengan gabungan rona pastel yang menawan. Selain itu, Man Kajang turut dipilih sebagai pereka busana tradisional yang digayakan untuk majlis pertunangan tersebut.

Insya-Allah, pasangan ini bakal disatukan dalam ikatan pernikahan pada 26 September 2026, jam 11 pagi bertempat di The St. Regis Kuala Lumpur.

Majlis persandingan pula akan diraikan pada dua tarikh berasingan — pihak lelaki pada 3 Oktober 2026 dan pihak perempuan pada 10 Oktober 2026.
Sedikit mengenai bakal pengantin lelaki, Naim merupakan anak kepada Datuk Norizan Bakar. Beliau menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan di United Kingdom dan kini memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pasaraya Desa Segar, meneruskan legasi perniagaan keluarga yang semakin berkembang.

Semoga ikatan yang dibina ini diberkati, dipermudahkan segala urusan, dan menjadi permulaan kepada sebuah kehidupan yang penuh mawaddah, sakinah dan rahmah.





Leave a Reply