Pemergian tiga kakitangan pelantar minyak dalam nahas tragis di Platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan baru-baru ini bukan sahaja mengundang rasa pilu, malah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan insiden berkenaan.

Di sebalik berita duka itu, tersingkap kisah seorang insan berhati mulia yang pergi ketika sedang berjuang mencari rezeki demi keluarga tercinta.

Salah seorang mangsa yang terkorban, Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria, 38, rupa-rupanya merupakan penderma darah setia di Hospital Melaka.

Foto: Bernama

Allahyarham yang berasal dari Batu Berendam dikenali sebagai individu yang aktif membantu mereka yang memerlukan menerusi amalan menderma darah secara konsisten.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Perubatan Transfusi hospital berkenaan, kali terakhir Allahyarham hadir menderma darah adalah pada 15 Mei lalu di Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka, hanya sembilan hari sebelum tragedi meragut nyawanya berlaku.

“Jasa dan pengorbanan Allahyarham amat dihargai dan akan sentiasa dikenang. Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ahli keluarga diberi kekuatan serta ketabahan,” menurut kenyataan itu.

Kisah Allahyarham nyata mengundang sebak dalam kalangan masyarakat. Di saat beliau gigih bekerja di tengah lautan demi mencari nafkah buat keluarga, Allahyarham juga tidak pernah lokek berkongsi ‘nyawa’ untuk membantu insan lain menerusi pendermaan darah.

Terdahulu, kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari Ahad lalu berlaku ketika Ahmad Fiqri bersama tiga lagi rakan sekerja, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid dan Mohd Taufik Mohd Ruslan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform.

Namun dalam sekelip mata, tali atau cangkuk pada lifeboat yang mereka gunakan dilaporkan tiba-tiba tercabut sebelum menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut.

Mangsa kemudian diterbangkan menggunakan helikopter sekitar jam 4 petang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, Ahmad Fiqri bersama dua lagi rakannya disahkan meninggal dunia pada jam 5.25 petang, manakala Mohd Taufik dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Pemergian mereka meninggalkan luka mendalam buat ahli keluarga dan insan tersayang. Dalam usaha mencari rezeki di lautan luas, mereka akhirnya ‘pulang’ dalam keadaan yang amat memilukan.

Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan segala jasa baik yang ditinggalkan menjadi amal jariah yang terus mengalir.

Sumber: Facebook

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading