Penyanyi, Nourul Wahab Depp berpandangan tidak rugi apabila dia terpaksa melaburkan wang persaraan demi konsert Nourul For You yang berlangsung semalam di Zepp Kuala Lumpur.

Baginya, meskipun pulangan diperoleh secara bertahap, dia tetap merasakan pelaburan itu baik untuk diri sendiri dan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Sebenarnya, malam ini saya menyanyi secara percuma. Saya tak kisah kerana ia adalah pelaburan untuk diri sendiri.
“Saya yakin bersedia dan kerana itu saya melakukannya (konsert). Tak mengapa, pulangan akan datang kemudian. Kita buat kerana minat dan cinta,” kongsinya yang ditemui selepas konsert tersebut, malam tadi.

Menerusi konsert istimewa itu, Nourul mempersembahkan 22 buah lagu antaranya Cinta Azali, Rinduku Padamu, Kerana Terluka dan banyak lagi.
Seawal persembahan, suasana dewan sudah dibangkitkan dengan kemunculan kumpulan koir yang mendendangkan beberapa lagu popular Nourul termasuk Tika Cinta, Keliru, Cinta Azali, Kerana Terluka dan Aku Cinta Aku Rindu, sekali gus mengimbau nostalgia peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya sejak era 1990-an.
Konsert berdurasi hampir tiga jam itu bukan sekadar meraikan perjalanan seni penyanyi berusia 49 tahun itu, malah menjadi ruang untuk beliau berkongsi kisah hidup, perjuangan dan perjalanan karier yang membentuk namanya dalam industri muzik tanah air.
Segmen tribute dibawakan oleh Nourul dengan baik sekali di mana penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu menyampaikan rangkaian lagu penyanyi yang banyak memberi inspirasi buat dirinya antaranya termasuklah Janji Manismu (Dato Aishah), Kau Kunci Cintaku (Ramlah Ram), Madah Berhelah (Ziana Zain) dan Sembilu (Ella) yang membawa penonton menyusuri kembali era kegemilangan muzik tempatan.

Melalui persembahan ini, vokal Nourul begitu terserlah membawakan lagu bernada tinggi secara bersahaja dan ada kalanya duduk membawakan lagi bernada tinggi!
Beberapa kali penyanyi itu dilihat sebak ketika berkongsi rasa syukur kerana impian untuk memiliki konsert solo sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas 32 tahun bergelar anak seni.
“Terima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Saya simpan impian ini lebih 30 tahun. Better late than never (Lebih baik terlambat daripada tidak ada),” katanya yang menerima tepukan gemuruh daripada penonton.

Turut membuat kemunculan khas merupakan Zachary Depp yang mendendangkan lagu Joget Kenangan Manis dendangan Sudirman Haji Arshad.

Membuat penampilan istimewa merupakan Mimi Fly yang mempersembahkan lagu Temberang yang dinyanyi solo selain Persamaan, Maafkanku dan keliru (duet).
Tidak sekadar menyampaikan lagu popularnya, Nourul turut memperlihatkan sisi versatil menerusi lagu berbahasa Perancis “Aujourd’hui” sebelum memberi penghormatan kepada idolanya, Celine Dion, menerusi lagu “That’s The Way It Is”.

Nourul dalam pada itu memaklumkan konsert tersebut hanyalah persinggahan sekejap dan bukan untuk kembali ke dunia seni tanah air.
“Ini adalah Nourul Wahab Depp dalam fasa dan minda yang lain.
“Saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, cuma saya ingin buat yang terbaik. Impian dan perancangan saya tercapai selepas 32 tahun,” kongsinya.

Nourul turut berkongsi kisah di sebalik lagu Rinduku Padamu yang dicipta sepenuhnya oleh bekas suaminya, Ajai, dan menyifatkan karya yang diterbitkan pada 1996 itu mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan seninya.

Konsert berkenaan turut menemukan semula Nourul dengan peminat yang hadir dari pelbagai lokasi termasuk Singapura, Brunei dan Bali, Indonesia sekali gus membuktikan pengaruh serta sokongan yang masih utuh terhadap penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996 itu.

Dalam segmen solo pula, beliau tampil anggun dalam persalinan rona emas menampilkan lagu Ikhlasnya Cintaku, Tangis Syukur, Tertutup Hati, Rinduku Padamu dan Aku Cinta Aku Rindu pula menjadi antara kemuncak persembahan apabila hampir seluruh dewan menyanyikan lagu-lagu itu bersama-sama.


Keakraban Nourul dengan peminat terserlah apabila beliau turun dari pentas menyapa penonton dan rakan seni yang hadir. Namun, sorakan paling gemuruh malam itu tercetus sebaik Ning Baizura muncul sebagai artis jemputan, sebelum kedua-dua sahabat baik itu memukau hadirin menerusi duet Selagi Ada Cinta.
Meskipun persembahan berlangsung hampir tiga jam tanpa henti, Nourul kekal bertenaga dengan vokal yang konsisten dari awal hingga akhir.
Beliau kemudian memperkenalkan single terbaharu berjudul Andai Ku Kenaliku ciptaan Yasin Sulaiman dan Eena Houzyama sebelum menutup tirai konsert menerusi lagu Kerana Terluka yang dinyanyikan beramai-ramai bersama penonton.

Malam itu, “For You Nourul” bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perjalanan yang meraikan ketabahan, kesetiaan dan kecintaan seorang penyanyi terhadap dunia seni yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama lebih 30 tahun. – Bernama




Leave a Reply