Bahang menjelang konsert yang ditunggu-tunggu ramai “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” kini semakin dirasai apabila kumpulan legenda Indonesia, Ungu, bersedia untuk meraikan perjalanan seni mereka selama tiga dekad bersama peminat di Malaysia dalam sebuah malam yang dijangka penuh emosi, nostalgia dan kejutan istimewa.

Selepas mencipta pelbagai momen bermakna menerusi lagu-lagu malar segar seperti “Demi Waktu”, “Tercipta Untukku”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, Ungu kini bakal membawa himpunan karya terbaik mereka ke pentas Idea Live Arena pada tarikh bersejarah 5 September 2026 menerusi sebuah persembahan yang disifatkan sebagai antara konsert paling peribadi dan istimewa buat mereka.

Sejak pengumuman rasmi konsert ini dibuat, keterujaan peminat di Malaysia terus meningkat dengan pelbagai perbincangan dan reaksi positif yang membanjiri media sosial. Konsert ulang tahun ke-30 ini bukan sahaja menjadi simbol perjalanan panjang Ungu dalam industri muzik Nusantara, malah dilihat sebagai sebuah malam penghargaan buat peminat yang terus setia bersama mereka selama tiga dekad.

Sambutan luar biasa terhadap konsert ini turut dapat dilihat apabila jualan tiket kini telah mencecah 50%, sekaligus membuktikan keterujaan peminat untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah tersebut.

Susulan permintaan yang semakin meningkat, pihak penganjur juga bakal menambah beberapa kategori tempat duduk baharu dalam masa terdekat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada peminat yang ingin menyaksikan persembahan istimewa ini secara langsung.

Dengan pelbagai kejutan yang sedang dirancang, malam tersebut dijangka tampil sebagai sebuah pengalaman yang lebih intim, emosional dan imersif buat semua yang hadir.

Penampilan Marsha Milan

Lebih menghangatkan keterujaan menjelang malam konsert, pihak penganjur turut mengumumkan bahawa penyanyi terkenal tanah air, Marsha Milan, bakal tampil sebagai artis jemputan khas.

Menariknya, pemilihan Marsha dibuat sendiri oleh anggota Ungu yang mahukan seorang penyanyi dengan kekuatan vokal dan penghayatan emosi yang mampu melengkapi atmosfera konsert bersempena ulang tahun ke-30 mereka itu.

Menurut Ungu, mereka sudah lama mengikuti perjalanan seni Marsha dan percaya penyanyi tersebut mempunyai aura tersendiri yang sesuai untuk berkongsi pentas bersama mereka.

“Marsha mempunyai suara yang emosional dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu. Kami percaya beliau mampu membawa energi untuk malam ini. Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia,” kata Ungu.

Konsert ini dijangka menjadi sebuah perjalanan emosi yang membawa penonton menelusuri evolusi Ungu sepanjang 30 tahun dalam industri muzik Nusantara menerusi tiga segmen utama iaitu “The Birth”, “The Peak” dan “The Legacy”.

Daripada era awal kemunculan mereka sehingga menjadi antara kumpulan paling berpengaruh di rantau ini, setiap segmen persembahan dirancang dengan elemen penceritaan, visual dan susunan muzik yang lebih imersif bagi menghidupkan kembali perjalanan seni mereka sepanjang tiga dekad.

Leave a Reply

Trending