Selepas setahun mencipta fenomena tersendiri dalam arena
M-Pop tempatan, kumpulan sensasi ALPHA bakal meraikan satu lagi detik penting dalam perjalanan seni mereka menerusi pelancaran album studio penuh pertama yang dinanti-nantikan peminat berjudul “The First Wave”.

Lebih istimewa, pelancaran album ini diadakan bersempena ulang tahun pertama penubuhan ALPHA dan bakal berlangsung pada 14 Jun 2026, dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam di Pavilion Damansara Heights.

Acara tersebut bukan sahaja menjadi medan memperkenalkan album sulung mereka kepada umum, malah menjadi platform untuk ALPHA meraikan perjalanan setahun yang penuh bermakna bersama para peminat yang sentiasa menyokong mereka sejak hari pertama.

Dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan lelaki paling menonjol dalam industri hiburan tempatan menerusi identiti muzik yang segar, persembahan bertenaga serta sokongan peminat yang semakin berkembang dari hari ke hari.

Satu Tahun, Satu Pencapaian Besar

“The First Wave” merupakan album studio penuh pertama ALPHA sejak bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment dan menjadi simbol kepada perkembangan, kematangan serta evolusi muzik mereka sepanjang tahun pertama dalam industri.

Mengandungi 12 trek, album ini menghimpunkan pelbagai genre dan warna muzik yang mencerminkan kebolehan ALPHA. Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut termasuk “Mona Lisa (Bang Bang)”, “P. Ramlee Saloma”, “Bujang”, “Tiada Pengganti” serta single hit terkini mereka, “Gelato” yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Menerusi pengumuman yang dibuat di platform media sosial rasmi ALPHA, para peminat bakal disajikan dengan beberapa karya baharu seperti “Mahkota Cinta”, “Gerak”, “Roman Empire”, “Dia feat. AG Coco” serta beberapa lagi lagu yang dijangka menjadi antara kegemaran ramai.

“Burn It Down” Jadi Taruhan Paling Dinantikan Peminat

Antara karya yang paling mencuri perhatian sejak diumumkan adalah “Burn It Down”, sebuah lagu yang dirakamkan di Korea Selatan ketika ALPHA menjalani latihan intensif menerusi program “ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter” yang boleh ditonton di Astro GO.

Lebih menarik, lagu tersebut mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah menghasilkan karya untuk beberapa nama besar K-Pop termasuk BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN.

Pengalaman berharga di Seoul bukan sahaja memberi peluang kepada ALPHA memperkasa kemampuan mereka, malah membuka ruang untuk mereka bekerjasama dengan tenaga kreatif bertaraf antarabangsa dalam menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan kompetitif.

ALPHA Mahu Raikan Kejayaan Bersama Peminat

Menurut Daniel Sher, album ini merupakan hadiah paling bermakna buat peminat yang sentiasa bersama ALPHA sepanjang tahun pertama mereka.

“Rasa macam baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama-sama. Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta begitu banyak kenangan. ‘The First Wave’ adalah simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan sepanjang perjalanan ini, dan kami mahu berkongsi momen istimewa ini dengan semua peminat yang sentiasa menyokong kami sejak hari pertama,” katanya.

Sementara itu, Izat Ibrahim berkata album tersebut memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang serta kepelbagaian daripada segi muzik.

“Album ini sangat istimewa buat kami kerana setiap lagu membawa identiti dan emosi yang berbeza. Kami bereksperimen dengan pelbagai genre dan mempersembahkan sisi ALPHA yang mungkin belum pernah didengar sebelum ini. Kami benar-benar tidak sabar untuk mendengar reaksi peminat apabila mereka menikmati keseluruhan album ini buat pertama kali,” ujarnya.

Tambah Ray-D, pelancaran “The First Wave” membawa makna yang cukup besar buat kesemua anggota ALPHA.

“Bagi kami, album ini bukan sekadar koleksi lagu. Ia merakamkan perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, impian yang sedang kami kejar dan hubungan yang kami bina bersama peminat sepanjang setahun ini. Sebab itu kami sangat teruja untuk bertemu dan meraikan detik ini bersama mereka pada hari pelancaran nanti.”

ALPHA Kini Duta Jenama Sooka, Lancarkan Pelan Sooka x ALPHA

Bersempena pelancaran “The First Wave”, ALPHA kini melangkah lebih jauh dengan menjalinkan kolaborasi bersama Sooka sebagai duta jenama, sekali gus membuka ruang untuk peminat menikmati pengalaman hiburan yang lebih dekat, lebih eksklusif dan lebih menyeluruh.

Seiring dengan ini, bermula 15 Jun 2026, Sooka akan memperkenalkan Pelan Sooka x ALPHA pada harga RM34.90 untuk 3 bulan. Di samping sehingga 79 saluran hiburan, pakej ini turut menawarkan pelbagai kandungan lain termasuk siaran langsung, koleksi drama tempatan dan antarabangsa seperti Korea dan Cina, rancangan realiti dan variasi popular, kandungan untuk keluarga dan kanak-kanak serta lebih 50 kandungan mikrodrama merentas pelbagai genre.

Ia juga bakal membawakan kandungan eksklusif ALPHA khas buat peminat setia, termasuk rakaman di sebalik tabir, temu bual eksklusif serta muzik video kolaborasi Sooka bersama ALPHA yang hanya boleh ditonton di platform Sooka.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading