Siapa sangka, asbab melahirkan zuriat kira-kira tiga tahun yang lalu membuatkan penyanyi Wany Hasrita menemui hobi baharu menyertai larian maraton selepas kelahiran anak sulungnya, Aishah Al Iman.

Menurut Wany atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33,minat terhadap sukan itu tercetus selepas dia disahkan mengalami pradiabetes sejurus melahirkan cahaya mata.
“Pada awalnya, saya sekadar berjoging bagi meningkatkan tahap kesihatan. Kemudian minat itu berkembang menjadi hobi yang kini dilakukan secara serius sehingga saya berjaya menamatkan larian separuh maraton di Gold Coast, Australia, baru-baru ini,” ujar Wany.


Kejayaan itu turut menyuntik semangat kepada penyanyi lagu Menahan Rindu itu untuk menamatkan larian maraton penuh pada tahun depan.
“Alhamdulillah, sekarang saya rasa sangat bersemangat. Selepas tahu saya mengalami pradiabetes, saya mula memberi perhatian terhadap kesihatan.
“Baru-baru ini saya berjaya menamatkan larian separuh maraton di Gold Coast. Sebaik sahaja tamat larian itu, saya terus terfikir untuk mencabar diri menyertai maraton penuh tahun depan. Itu sasaran saya sekarang,” ujar Wany memetik https://www.bharian.com.my/
Serius Dengan Hobi Baharu
Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada Wany mahu menjadi penyanyi atau pelari. Sebenarnya, selepas melahirkan anak dan mula menjaga kesihatan, Wany mula menemui hobi baharu.
“Saya tidak pernah sangka mampu berlari sejauh itu, tetapi apabila berjaya melakukannya, ia menjadi pembakar semangat untuk terus aktif,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton drama Impian Di Seoul, di sini, baru-baru ini.

Bermula Dari Larian Biasa
Wany berkata, perubahan itu bermula dengan rutin berjoging sebelum pengurusnya memperkenalkan aplikasi Strava bagi merekodkan prestasi larian.


Katanya, penggunaan aplikasi itu mendorongnya untuk terus memperbaiki catatan masa dan mencipta rekod peribadi. Selain berlari, Wany turut berkongsi aktiviti sukan yang lain seperti bermain Pickleball bersama rakan-rakan.

Sebelum ini, Wany pernah berkongsi dia mengambil serius aspek kesihatan selepas disahkan mengalami prediabetes dengan mengubah corak pemakanan dan mengamalkan gaya hidup lebih aktif bagi mengelakkan penyakit itu menjadi lebih serius.
Prediabetes bermaksud tahap gula dalam darah anda lebih tinggi daripada paras normal, tetapi belum cukup tinggi untuk disahkan sebagai diabetes jenis 2.

Keadaan ini bertindak sebagai tanda amaran awal bahawa tubuh anda mula rintangan terhadap insulin.Sekiranya anda mengalami pradiabetes, anda mungkin tidak mampu membuat insulin secukupnya selepas makan, atau badan anda tidak bertindak balas sebaiknya pada insulin.
Tanpa intervensi, pradiabetes akan menjadi diabetes jenis 2 dalam 10 tahun atau kurang. Pradiabetes boleh merosakkan jantung dan sistem sirkulatori anda jauh sebelum diabetes jenis 2 berlaku.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply