Lebih tiga dekad dalam industri hiburan tanah air sejak 1995, Ezad Lazim sememangnya mempunyai pengalaman yang luas dalam industri muzik.
Berkat usaha gigih, penyanyi bernama sebenar Mohd Rohaizad Mohammad Lazim, 47, akhirnya berjaya mencapai impian mempunyai label sendiri iaitu EZ Record sempena singkatan namanya dan isteri tercinta, Zeana Ramli.

Paling manis apabila EZ Record turut mengeluarkan single berjudul Rasa Cinta ciptaan Ezad, manakala lirik oleh isteri tersayang.
“Secara jujurnya, mungkin sekarang peluang ini ada. Sebelum ini saya mencari-cari peluang, tapi mungkinlah rezeki itu tak ada lagi. Saya bukan nak menyalahkan rezeki.
“Mungkin dari segi kerja saya sebelum ini tak macam sekarang. Sekarang saya lebih fokus, betul-betul orang kata nak buat sampai menjadi.
“Mungkin saya rasa semangat itu yang buat saya berani nak adakan benda ini (EZ Record). Memang dari dulu teringin nak ada macam yang saya buat ini, tapi banyak juga faktor-faktor yang berlaku,” katanya.

Bertitik tolak daripada situ, penyanyi kelahiran Kedah ini bertindak mengambil langkah berani melakukannya sendiri tanpa mengharapkan kepada orang lain.
“Kalau saya tak buat macam ini saya rasa, mungkin sampai bilalah orang nak ambil lagu-lagu saya, sebab saya bukan komposer yang terkenal macam komposer sedia ada.
“Tapi minat itu ada, teringin nak buat benda macam ini. Namun, peluang itu tak ada. Jadi macam saya cakap dengan isteri saya, saya minat benda ini.

“Kalau kita wujudkan label sendiri buat benda macam ini boleh tak? Kalau ikutkan mula-mula dia macam tak berapa minat sebab dia nampak saingan itu macam agak hebat,” katanya.
Ezad berkata, pada awalnya dia sendiri tidak berapa yakin untuk melakukannya, bagaimanapun pergaulan dengan banyak pihak secara tidak langsung membuka matanya.

EZ Record beroperasi di Kota Warisan, Sepang yang menempatkan studio latihan dan rakaman serta fotografi.
Pada masa sama, EZ Record turut mencungkil bakat baharu dalam industri apabila memperkenalkan Tika Nasir dan Adree.
“Kedua-dua mereka mempunyai bakat tersendiri selain mempunyai personaliti dan rupa paras menarik. Tika sebelum ini pernah ada single dan memang boleh menyanyi.

“Adree pula semasa kecil pernah main gitar iringI persembahan saya di Johor Bahru. Dahulu masa kecil memang nampak bakat dia main gitar dan menyanyi. Jadi kita cuba cipta satu lagu yang santai dan catchy,” katanya mengakhiri sidang media.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylmediahub.com




Leave a Reply