Dengan sekali lafaz, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sah bergelar suami kepada penyanyi, pelakon dan personaliti televisyen terkenal, Bella Astillah atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung pada pagi 10 Oktober 2026.

Selepas enam bulan mengikat tali pertunangan, pasangan merpati dua sejoli ini melakar sejarah apabila menjadi pasangan pertama yang diijabkabulkan di Presint Merdeka 118, salah satu mercu tanda ikonik negara.
Dengan latar suasana yang memukau di aras 118, detik penyatuan dua hati ini menjadi simbolik kepada permulaan baharu dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri, turut disaksikan oleh ribuan rakyat Malaysia apabila disiarkan secara langsung di pelbagai platform Astro, membawakan pengalaman menonton yang dekat dan eksklusif kepada penonton di seluruh negara.

Majlis akad nikah yang berlangsung dalam suasana penuh indah dan berkonsepkan Arab serba putih itu diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan industri terdekat. Turut memeriahkan acara ialah kehadiran tetamu kenamaan termasuk YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, YBhg. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, YBhg. Tan Sri Muhyiddin Yassin, YB Puan Hannah Yeoh dan ramai lagi.
Dalam majlis tersebut, pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah YABhg. Dato’ Seri Dr. Hj Zulkifli, dengan berwalikan En. Awang Astillah iaitu bapa kepada Bella Astillah. Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 kepada Bella sebagai tanda penyatuan mereka, selain bertukar hantaran yang terdiri daripada tujuh dulang daripada pihak pengantin lelaki berbalas sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Menambah seri majlis, kedua-dua mempelai tampil anggun dalam busana rekaan Zaimi Zulkafli, menyerlahkan keanggunan dan keperibadian tersendiri pasangan pengantin, sekali gus melengkapkan suasana romantis dan elegan yang mewarnai hari bersejarah mereka.
Perjalanan indah menuju hari bahagia ini serta setiap momen istimewa pernikahan pasangan tersebut akan dipaparkan menerusi program khas ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’, yang bersiaran setiap hari Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104), serta boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Syed Saddiq menyerahkan tujuh dulang hantaran yang setiap satunya membawa maksud tersendiri khas buat isterinya, Bella Astillah.
Paling mencuri tumpuan ialah Syed Saddiq dilihat serius terhadap pembangunan ilmu buat isterinya dengan menghadiahkan Bella peluang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di School of Media and Communication (SOMEC), Universiti Taylor’s sebagai tanda sokongan terhadap kerjaya dan masa depan Bella.
Turut melengkapi senarai hantaran adalah set kerusi urut mewah yang bukan sahaja diperuntukkan buat kegunaan Bella, malah sebagai tanda kasih buat kedua-dua ibu bapa mentua.

Memandangkan mereka berkongsi hobi yang sama, Syed Saddiq menyerahkan sebuah basikal memandangkan pasangan ini minat dalam aktiviti kayuhan.
Lebih menyentuh hati, hantaran tersebut membawa mesej bahawa dia akan sentiasa menjadi penyokong setia dan sentiasa menunggu Bella di garisan penamat dalam setiap fasa kehidupan.
Turut mencuri tumpuan ialah Syed Saddiq memberikan perlindungan sepanjang hayat menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP-i).
Caruman berjumlah RM100,000 itu diserahkan kepada Bella dengan unjuran nilai tersebut akan mencecah RM500,000 apabila penyanyi itu mencapai usia 60 tahun kelak.
Dulang hantaran lain turut memuatkan set cincin istimewa serta barangan kemas yang ditempah khas, selain pakej hantaran ibadah umrah sebagai pelengkap kepada ikatan suci yang baru sahaja dibina.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply