Meskipun hujan lebat membasahi Kuala Lumpur semalam, ia tidak mematahkan semangat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk turut sama menyaksikan persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Kehadiran Perdana Menteri bersama sekitar 63,000 penonton di stadium ikonik tersebut turut dikongsi Siti yang menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan Anwar.

“Malam ini kita menerima tetamu kehormat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terima kasih kerana sudi turun padang saksikan konsert irama tradisional terbesar saya,” katanya.

Anwar dilihat duduk bersebelahan dengan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Masing-masing mengenakan baju hujan berikutan cuaca tidak menentu, hujan dan bergerimis sepanjang konsert.

Selain Anwar, turut kelihatan kelibat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Malah, pelantun lagu Kesuma itu terharu dengan sokongan peminat yang masih setia menunggu di kerusi masing-masing walaupun hujan.

“Kita merancang segalanya, tapi Tuhan menentukan. Saya tak boleh tahan hujan, tapi bila kena hujan sejuk sikit.

“Apa pun, ini satu impian yang saya tak tahu bila lagi boleh lakukan.

“Akhirnya jadi kenyataan di stadium terbesar negara ini,” ujarnya sambil mendapat sorakan daripada peminat.

Konsert Tradisional Gema Bumantara dipentaskan Siti selepas sembilan bulan mencipta sejarah menerusi konsert tiga dekad pembabitannya dalam industri seni, iaitu Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 di lokasi sama pada 10 Januari lalu.

Ini sekali gus menjadi konsert solo pertama Siti di lokasi ikonik itu yang mengetengahkan sepenuhnya konsep muzik tradisional dan warisan Nusantara.

Konsert tradisional berskala besar tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa penyanyi jemputan seperti Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, Haziq Rosebi serta dua penyanyi Indonesia iaitu Lesti Kejora serta King Nassar.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading