Bakat muda Malaysia, Atta Rumnan, terus mencipta momentum positif dalam perjalanan seninya apabila berjaya mengukir satu lagi pencapaian membanggakan menerusi dua persembahan istimewa di Indonesia dan Sabah, termasuk peluang berduet bersama penyanyi tersohor Indonesia, Dato’ Sri Rossa.

Atta, 19, baru sahaja selesai membuat persembahan di Remember Fest, sebuah acara yang menghimpunkan barisan artis legenda dan generasi baharu industri muzik Indonesia.

Antara nama besar yang turut mengisi pentas festival tersebut termasuk Padi Reborn, Dewa 19, Dato’ Sri Rossa, Aldi Taher dan Ada Band, selain beberapa artis popular generasi baharu seperti Tulus, Fest, Hindia, Mahalini dan Sal Priadi.

Lebih membanggakan, Atta merupakan satu-satunya penyanyi dari Malaysia yang mendapat peluang membuat persembahan di festival berkenaan, sekali gus membawa nama Malaysia ke pentas muzik Indonesia.

Namun, pengalaman paling bermakna buat Atta hadir apabila beliau berpeluang bertemu Dato’ Sri Rossa di belakang pentas. Pertemuan tersebut membuka ruang kepada satu jemputan istimewa apabila Rossa sendiri mengundang Atta untuk tampil membuat persembahan duet bersamanya dalam sebuah acara seni di Sabah.

Tanpa berlengah, Atta meneruskan perjalanan dari Jakarta ke Kuala Lumpur sebelum terbang ke Sabah bagi memenuhi undangan tersebut. Menariknya, kedua-dua penyanyi itu tidak mempunyai kesempatan untuk menjalani latihan bersama sebelum persembahan. Atta hanya sempat menjalani sesi sound check bersama barisan pemuzik pengiring Rossa sebelum melangkah ke pentas.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, Atta berjaya memberikan persembahan yang mendapat sambutan positif apabila tampil di hadapan tetamu kenamaan, barisan VIP dan penonton di Sabah. Antara yang hadir termasuk Dato Shaharuddin Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Menteri Belia dan Sukan Sabah, Dato’ Nizam.

Dalam persembahan tersebut, Atta membawakan beberapa lagu termasuk Kasih Tak Sampai, lagu Mandarin Wo Men Bu Yi Yang, serta single terbaharunya, Maafkan.

Keupayaan Atta berkomunikasi dan menyanyi dalam bahasa Mandarin turut menjadi antara kelebihan tersendiri.

Lebih istimewa, persembahan Atta turut mendapat perhatian dan pujian daripada Rossa sendiri. Menerusi ruangan komen di hantaran media sosial Atta, Rossa menulis:

“Atta, you did great. Thank you for saying yes to the duet.”

Pengiktirafan secara terbuka daripada penyanyi berpengalaman seperti Rossa pastinya menjadi satu suntikan semangat dan pencapaian bermakna buat penyanyi muda itu.

Pada usia 19 tahun, Atta dilihat mempunyai potensi untuk membina kerjaya muzik bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia dan pasaran serantau. Pengalaman berkongsi pentas dengan nama-nama besar industri muzik serta keupayaannya menyesuaikan diri dalam persembahan berskala besar menjadi antara pengalaman penting dalam perkembangan seninya.

Dengan gabungan keupayaan vokal, penguasaan pelbagai bahasa serta pengalaman pentas antarabangsa yang semakin berkembang, Atta Rumnan kini berada dalam fasa penting untuk membuktikan bahawa bakat muda Malaysia juga mampu menembusi pasaran muzik serantau dan antarabangsa.

Dua pentas, dua pengalaman berbeza, tetapi satu perjalanan yang sama membawa nama Malaysia lebih jauh dalam industri muzik.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending