Aksara CIPTA yang dipilih sebagai judul dalam trilogi Konsert DATO’ M.N45ir Cipta (1 hingga 3) merupakan definisi paling tepat menggambarkan keseluruhan karya seni seorang Mohamad Nasir Mohamed.
Cipta bermaksud daya pikir untuk menghasilkan, membina atau menerbitkan sesuatu yang baharu, unik serta tidak pernah wujud sebelum ini; merangkumi karya seni, reka cipta atau idea khayalan.
Ia sering merujuk kepada proses kreatif (daya cipta) untuk memproduksikan barangan atau karya intelektual dengan tahap mencipta, cipta dan ciptaan.

Sang Maestro Lagenda
Baik mencipta, cipta atau ciptaan, ke semua tahap penggunaan ini melambangkan M.Nasir – sang maestro dan sifu yang cukup legenda sejak beberapa abad lalu.
Lantas sejak M.Na45ir Cipta 1 dipersembahkan kepada peminat pada Ogos 2024, ia membina penjenamaan CIPTA dengan dua lagi siri konsert iaitu Cipta 2 pada Oktober 2024 dan Cipta 3 pada September 2025 bersama sebuah sejarah Konsert M.Nasir Cipta Raya yang menjadi ikutan pada Mac 2025.


4 Julai 2026 ini akan melengkapkan siri CIPTA dengan penganjuran DATO’ M.N47IR CIPTA 4 oleh penganjur sama, Icon Entertainment.
Dijadualkan berlangsung di Unifi Arena Kuala Lumpur pukul 8.30 malam, Cipta 4 akan menjadi penerus kepada trilogi CIPTA yang telah mencetus fenomena dan mencetak kejayaan bukan hanya buat M. Nasir tetapi seluruh industri muzik tempatan.
“Jika kita boleh anjurkan DATO’ M.N47IR CIPTA 4, mengapa perlu berhenti pada penganjuran sebelum ini? Buat Icon Entertainment, setiap kali menganjurkan sesebuah konsert, kami turut mencipta sebuah sejarah bukan secara peribadi tetapi untuk industri muzik tempatan menjadi kayu ukur yang baik untuk dilihat oleh seluruh pemain industri.

“Jadi sewaktu pertama kali berbincang untuk menganjurkan Konsert M.Nasir, kami sudah mensasarkan ia akan dipecahkan dalam empat konsep di bawah satu jenama iaitu Cipta 1, Cipta 2, Cipta 3 dan kemudiannya, CIPTA RAYA, edisi CIPTA istimewa sebagai sebuah pesta raya bersama peminat. Untuk tahun ini, akan datang pada 4 Julai 2026 adalah DATO’ M.N47IR CIPTA 4.
“Kenapa sehingga empat penganjuran? Kerana ratusan ciptaan lagu yang dicipta, pencipta M.Nasir layak diperdengarkan secara langsung bersama visual yang menarik, terutama berkaitan dengan karya-karya ciptaan beliau.Dan bakal ada lanjutan lagi selepas 4.
“Cipta menjadi medan sejarah, medan momen dan medan kesinambungan menikmati ratusan karya M.Nasir sama ada yang dicipta buat dirinya sendiri atau penyanyi lain,” ujar penganjur, Iman Tang.

DATO’ M.N47IR CIPTA 4 pada 4 Julai 2026 kelak akan menyaksikan legenda seni berusia 68 tahun ini mendendangkan karya dan lagu terkenal miliknya.
“Jika ada yang berasa sudah cukup dengan penganjuran trilogi Cipta, percayalah Cipta 4 akan memberi dimensi dan nikmat tersendiri. Maka simpan duit dan hadir kerana anda tidak akan menikmati momen yang diciptakan seperti ini dalam satu tempoh yang cukup panjang nanti,” tambah Iman lagi.

Melly Goeslaw bakal menjadi penyanyi undangan di Konsert Cipta 4 M.Nasir Julai ini
Buat M Nasir, ringkas pesanannya: “Datang dan lengkapkan keraian trilogi Cipta dengan DATO’ M.N47IR CIPTA 4. Kita akan mencipta sejarah untuk masa depan.”


Dan seperti tiga penganjuran Cipta sebelumnya, peminat yang hadir diwajibkan mengikut tema dengan penampilan berkonsep batik. Kerjasama dan sikap ‘ramah’ anda akan menjadikan DATO’ M.N47IR CIPTA 4 pada 4 Julai 2026 di Unifi Arena Kuala Lumpur lebih bermakna.
Untuk itu, jangan terlepas butiran pembelian tiket dengan ke semua kategori duduk yang mula dilancarkan pada 24 April 2026 (Jumaat) bermula pukul 11 pagi.
Tiket-tiket dengan kategori harga (SEMUA KATEGORI ADALAH DUDUK): RM238 (MENTERA SEMERAH PADI), RM338 (SEKUNTUM BUNGA DI GURUN SAHARA), RM458 (ANDAINYA AKU PERGI DULU), RM488 (MAHLIGAI SYAHDU), RM528 (SENTUHAN KECUNDANG) dan RM588 (CINTA KRISTAL) boleh dibeli menerusi http://www.ticket2u.com.my.
Icon Entertainment bersama Datuk M. Nasir memilih untuk mengadakan sidang media Konsert Dato’ M.N47ir Cipta 4 di atas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bergerak dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak.

Membawa lebih 100 orang petugas media dalam rombongan yang diberi nama Ekspres Rakyat Nasi Ganja Tok Nasir ke Ipoh, acara itu turut menampilkan penyanyi dan komposer dari Indonesia, Melly Goeslaw sebagai kejutan.

Menurut pengasas Icon Entertainment yang merupakan penganjur konsert, Iman Tang, dia sengaja memilih untuk mengadakan sidang media di atas kereta api untuk mencipta kelainan.
“Sebelum ini sudah ada tiga sidang media yang kita lakukan untuk konsert terdahulu. Pelbagai lokasi kita lakukan. Jadi saya terfikir apa lagi yang mahu dilakukan. Jadi demi kelainan kita pilih untuk buat sidang media di atas kereta api,” katanya.
Sementara itu, bagi M. Nasir pula, ini merupakan kali kedua dia mengadakan sidang media di atas kereta api selepas kali pertama lebih 40 tahun lalu.

“Kali pertama dulu ketika pelancaran lagu Ekspres Rakyat bersama kumpulan Kembara. Ketika itu kita turut bawa sekumpulan media,” kongsinya.
Dapatkan informasi terkini di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply