Ada lagu yang mengingatkan kita kepada seseorang. Ada lagu yang membawa kita kembali pada kenangan yang belum sepenuhnya dilupakan. Dan ada juga lagu yang seolah-olah memahami segala perasaan yang tidak pernah mampu kita ungkapkan dengan kata-kata.

Inilah antara keistimewaan muzik Juicy Luicy, kumpulan muzik Indonesia yang dikenali menerusi karya-karya bertemakan cinta, kerinduan dan perjalanan emosi manusia.
Menerusi susunan melodi yang dekat dengan jiwa serta lirik yang mudah dikaitkan dengan pengalaman peribadi, lagu-lagu mereka sering menjadi teman pendengar dalam pelbagai fasa kehidupan.
Keistimewaan muzik tersebut bakal dibawa ke pentas Malaysia menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur anjuran AM.entertainment, yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Januari 2027.


Berasal dari Bandung, Indonesia, Juicy Luicy ditubuhkan pada tahun 2010 dan menggabungkan elemen muzik pop serta R&B dalam karya-karya mereka.
Kumpulan ini dianggotai lima anggota iaitu Julian Kaisar sebagai vokalis, Denis Ligia (gitar elektrik dan gitar akustik), Zamzam Y.M (saksafon dan gitar akustik), Bina Bagja (bes) serta Eggy Ramandha (dram).
Julian mengakui Juicy Luicy sangat menghargai sokongan yang diberikan peminat di Malaysia sejak kemunculan pertama mereka pada 2023.
“Setiap kali berpeluang membuat persembahan di Kuala Lumpur, kami sentiasa menerima sambutan yang cukup bermakna dan ia menjadi antara pengalaman yang kami nantikan.
“Menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur kali ini, kami ingin membawa sesuatu yang istimewa buat peminat, khususnya menerusi rangkaian lagu yang telah menemani perjalanan muzik kami selama ini.
“Kami berharap dapat berkongsi satu malam yang penuh kenangan bersama semua yang hadir.Terima kasih kerana terus mendengar, menyokong dan menerima muzik Juicy Luicy. Kami tidak sabar untuk kembali bertemu anda di Kuala Lumpur,” katanya.
Sepanjang perjalanan muzik mereka, Juicy Luicy telah menghasilkan beberapa karya yang mendapat tempat dalam kalangan pendengar, antaranya Lantas, Tampar, Sialan, Tanpa Tergesa dan Lampu Kuning. Lagu-lagu ini memperlihatkan kekuatan kumpulan tersebut dalam mengolah kisah kehidupan menerusi gabungan melodi pop dan R&B yang menjadi identiti muzik mereka.

Menerusi Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur, karya-karya tersebut bakal menjadi antara pengisian yang menemukan kumpulan itu dengan peminat di Kuala Lumpur.
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, konsert ini menjadi peluang untuk meraikan perjalanan muzik yang telah menemukan Juicy Luicy dengan pendengar daripada pelbagai latar pengalaman.
Kerana setiap lagu mempunyai ceritanya sendiri. Ada yang sekadar singgah di telinga, dan ada yang terus tinggal dalam ingatan.
Tiket Konsert Lagu Wangi Dan Jalan Juicy Luicy Live In Kuala Lumpur ditawarkan pada harga RM168 (CAT 1), RM148 (CAT 2), RM188 (CAT 3), RM158 (CAT 4), dan RM300 (VIP) Jualan tiket akan dibuka pada 6 November 2026 menerusi platform penjualan tiket rasmi, Ticket2U.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply