TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dengan membawakan rangkaian kandungan khas
sempena musim Haji dan Aidiladha 1447H menerusi pelbagai program berteraskan ilmu, penghayatan rohani serta laporan semasa dari Tanah Suci yang disusun bermula April hingga penghujung Mei 2026.

Mengangkat tema kempen musim haji tahun ini, Arafah: Puncak Munajat & Harapan, TV AlHijrah menyajikan pengisian istimewa yang menzahirkan kemuliaan perjalanan ibadah haji, keinsafan di bumi Arafah serta pengharapan umat Islam kepada rahmat dan keampunan Allah SWT.
Sebagai pembuka tirai musim haji tahun ini, program Interaktif Haji bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam bermula 20 April 2026. Program ini membawakan kefahaman ibadah haji secara jelas, tepat dan praktikal bersama barisan asatizah berpengalaman
seperti Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf.
Lebih menarik, musim ini ia diperkasa dengan integrasi digital secara langsung bagi membolehkan penonton mengemukakan persoalan secara terus melalui platform media sosial bersama pengacara
Zaim Zamani.

Meneruskan momentum tersebut, bermula 30 April 2026, TV AlHijrah menampilkan Kisah Mutawif pada setiap Khamis dan Jumaat, jam 10 malam bersama Ustaz Izzhar Nazri. Program ini menyingkap pengalaman sebenar mutawif membimbing para jemaah di Tanah Suci, merangkumi kisah pengorbanan, kesabaran dan perjalanan hati menuju Allah SWT.
Memperkukuh lagi kempen Haji 2026, program Diari Labbaikallah akan mula bersiaran pada 11 Mei 2026, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam. Kapsul khas ini membawakan laporan semasa secara langsung dari Mekah, termasuk suasana ibadah haji, pergerakan jemaah serta detik-detik penting sepanjang musim haji agar penonton di tanah air dapat merasai pengalaman seolah-olah berada di bumi suci.

Kemuncak Haji
Menjelang kemuncak perjalanan ibadah haji, tumpuan utama musim ini pastinya siaran langsung Munajat Arafah pada 26 Mei 2026 (Selasa) jam 5 petang. Program khas ini menampilkan tausiyah, zikir, munajat dan alunan ayat suci al-Quran bersama barisan pendakwah terkemuka, sekali gus mengajak umat Islam bersama-sama menghayati kemuliaan Hari Arafah dalam suasana penuh keinsafan.
Pada hari yang sama, TV AlHijrah turut menyiarkan secara langsung Khutbah Arafah 2026 yang akan disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepada para jemaah haji Malaysia di Tanah Suci. Siaran langsung menerusi platform rasmi TV AlHijrah di Facebook dan TikTok TV AlHijrah sekitar jam 7 malam waktu Malaysia ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersamasama menghayati kemuncak ibadah haji pada Hari Arafah, detik agung yang menghimpunkan jutaan umat Islam di Padang Arafah dalam suasana penuh doa, taubat dan pengharapan kepada Allah SWT.
Dalam meraikan ketibaan Aidiladha pula, TV AlHijrah membawakan program Peristiwa Hari Tasyrik yang akan bersiaran pada 28, 29, 30 Mei 2026, jam 9 malam. Program khas ini mengupas makna dan hikmah tiga hari Tasyrik yang sering terlepas pandang, termasuk kepentingan memperbanyakkan zikir, mensyukuri nikmat serta menghayati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Tidak terhenti di situ, sepanjang musim haji juga rancangan pagi popular Assalamualaikum akan terus membawakan segmen khas haji setiap hari jam 7 pagi menerusi perkongsian ilmu, simulasi ibadah dan panduan praktikal oleh para asatizah terpilih.

Dalam masa sama, Berita AlHijrah akan menampilkan laporan harian musim Haji 1447H pada jam 8:00 malam dengan perkembangan terkini berdasarkan sumber sahih termasuk Lembaga Tabung Haji serta pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi.

Rangkaian kandungan khas ini mencerminkan peranan TV AlHijrah sebagai jambatan rohani yang mendekatkan rakyat Malaysia dengan detik-detik penting umat Islam di seluruh dunia serta memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap ibadah haji, selari dengan aspirasi TV AlHijrah untuk menyatukan ummah dengan ilmu.
TV AlHijrah mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati musim haji menerusi rangkaian siaran istimewa ini di platform televisyen serta digital rasmi TV AlHijrah sepanjang musim Haji dan Aidiladha 1447H.
Layari http://www.lifestylemediahub.com untuk informasi terkini gaya hidup semasa.





Leave a Reply