Penjualan tiket disabotaj? Itu dakwaan yang dikongsikan oleh penyanyi Janji Manis Mu, Datuk Aishah, 61, mengenai penjualan tiket konsertnya, Aishah 40 Chapters Of Love yang dilancarkan di sebuah platform tempahan tiket online pada 17 April lalu.

Aishah mendakwa dia menerima aduan daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket konsertnya itu, sejak jualan dibuka.

Berikutan itu, pengurusan Aishah membuat keputusan beralih ke platform tempatan tiket online lain.

Ketika mula-mula dapat tahu, saya menangis sebab kami sudah bekerja keras untuk konsert ini terutama pihak pengurusan.

“Saya dapat tahu mengenai perkara itu daripada rakan-rakan dan peminat dalam senarai kenalan yang gagal mendapat tiket ketika jualan dibuka.

“Mereka terpaksa menunggu dalam ‘barisan’ selama berjam-jam. Namun, sebaik berjaya masuk, skrin memaparkan notis tiket sudah habis dijual.

“Bertahun-tahun saya simpan impan mementaskan konsert. Apabila jadi perkara ini, tentulah saya terkejut. Namun, saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan rahmat di sebaliknya,” katanya pada sidang media Konsert Aishah 40 Chapters Of Love di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Aishah enggan menuding jari dan tidak terfikir hendak mengambil tindakan ke atas pihak yang didakwa terbabit dalam kes itu.

“Saya tidak boleh dedahkan siapa yang lakukan perkara itu. Saya hanya hendak ‘move on’ buat masa ini.

“Kami hendak fokus kepada konsert sahaja. Tempoh dua bulan sangat cepat, rasa macam terkejar-kejar.

“Saya tidak mahu ada perasaan marah. Saya perlu kawal rasa marah itu,” katanya.

Aishah meminta peminat yang gagal mendapatkan tiket melayari platform terbaharu kerana jualan sudah mula dibuka.

Sebagai penghargaan kepada peminat setia dan pengumpul karya muzik, sebuah “vinyl” eksklusif edisi terhad akan dilancarkan bersempena konsert ini. Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, keluaran khas ini dijangka menjadi koleksi bernilai tinggi yang meraikan perjalanan seni Dato’ Aishah dalam bentuk fizikal yang klasik dan abadi.

Kejutan

Menambah elemen kejutan dan keterujaan, pihak penganjur turut mengumumkan kemunculan istimewa penyanyi berbakat, Ara Johari, sebagai artis undangan pada malam konsert tersebut.

Gabungan dua generasi suara wanita ini dijangka mencipta momen pentas yang unik, mempertemukan legasi dan suara kontemporari dalam satu persembahan yang segar dan bermakna.

Konsert Aishah 40 Chapters Of Love dipentaskan sempena empat dekad pembabitan Aishah dalam dunia muzik yang membawa dirinya berkelana hingga ke New Zealand dan Amerika Syarikat (AS) pada era 1980-an.

Konsert Aishah 40 Chapters Of Love akan dipentaskan di Megastar Arena Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 4 Julai depan, mulai jam 8 malam. Jualan tiket kini boleh didapati secara rasmi melalui platform baharu, Ticketmelon, menggantikan platform terdahulu.

Tiket boleh dibeli di:

www.ticketmelon.com/voxnationlive/aishah40

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading