Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Itulah gambaran yang dapat digambarkan oleh seorang ibu apabila seorang murid perempuan dipercayai baru keluar dari pagar sekolah sebelum dilanggar sebuah van yang tidak menyedari kehadirannya di hadapan lokasi tersebut.
Tragedi menyayat hati itu melibatkan Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang maut selepas dilanggar van di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong ketika pulang dari sesi persekolahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam, mangsa yang merupakan murid Tahun Dua dipercayai baru sahaja tamat sesi persekolahan sebelum bergerak keluar dari pintu pagar sekolah.
Difahamkan, sebuah van yang berada di kawasan sama ketika itu turut bergerak keluar selepas menghantar barang tanpa menyedari kehadiran mangsa sebelum melanggarnya.

Kejadian Di Depan Mata
Lebih menyayat hati, kejadian tersebut turut disaksikan beberapa ibu bapa yang ketika itu sedang menunggu anak masing-masing di hadapan sekolah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Foto: Ihsan Pembaca
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut.
“Saya Nampak Orang Ramai Berkerumun Di Depan Pagar Sekolah. Tak Sangka, Rupanya….” – luahan ibu
Suasana bertukar menjadi emosi dan sayu apabila ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, berkongsi detik pilu yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.
“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Gambar Alias Abd Rani: Asmilah (tengah) ketika ditenangkan ahli keluarga di Jabatan Forensik HSNI.
Tambahnya lagi, pada hari kejadian dia sedang menguruskan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, sebelum keluar untuk mengambil mangsa kira-kira 10 minit kemudian.
“Apabila saya tiba di hadapan pintu pagar sekolahnya, saya ternampak orang ramai berkerumun. Hati saya pada ketika itu tertanya-tanya siapa yang mereka kerumun.
“Saya terdengar ada murid lain bercakap dan menyebut nama ‘Aini’. Saya terus berjumpa guru untuk bertanyakan siapa yang sedang terbaring kaku.
“Bila cikgu memberitahu murid itu adalah anak saya, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazahnya kerana keadaan sangat parah,” katanya ketika ditemui wartawan di Jabatan Forensik HSNI.
Sebagai ibu, Asmilah sering mengingatkan anaknya supaya menunggu di dalam kawasan sekolah untuk memastikan keselamatannya.
” Biasanya bila saya tiba, barulah dia keluar dari pagar sekolah. Tapi pada hari kejadian, saya tidak tahu kenapa dia berada di luar pagar dan ada kemungkinan dia mahu membeli sesuatu,” katanya menahan sebak.

Penghormatan Terakhir
Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa malam tadi apabila jenazah Allahyarham Nur Aini Umairah selamat dikebumikan.
Ratusan ahli keluarga dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang dikebumikan bersebelahan pusara neneknya.
Suasana hiba menyelubungi segenap ruang apabila ibu Allahyarhamah dilaporkan beberapa kali hampir pengsan ketika berada di Jabatan Forensik HSNI ketika menuntut jenazah anak sulung daripada dua beradik itu.
Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Jamek Kampung Parit Mustaffa untuk disolatkan sebelum dikebumikan.
“Pemergian Insan Tersayang Berturut-Turut”-Asmilah
Asmilah turut berkongsi bahawa dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kehilangan dua insan tersayang Januari tahun lalu.
“Kesedihan lalu belum terubat. Ibu saya Allahyarham Saonah Kasmi, 58, meninggal dunia dua jam selepas nenek, Bayah Sadiran, 84.
“Ibu waktu itu datang menziarahi nenek meninggal dunia pada jam 6.45 petang, sebelum dia sendiri menyusul kira-kira dua jam kemudian.
“Hari ini, saya sekali lagi diuji. Inilah dugaan saya sedang lalui, jadi saya perlu menguatkan diri supaya anak-anak dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya menutup bicara.
Sementara itu, seorang pemandu van ditahan polis selepas terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mangsa yang juga murid Tahun 2 sekolah berkenaan sedang berjalan kaki di hadapan pintu pagar utama.
“Siasatan awal mendapati sebuah van yang dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun itu baru sahaja selesai menghantar barang di dalam kawasan sekolah sebelum bergerak keluar menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.
“Ketika melalui pintu pagar utama sekolah, kenderaan tersebut dipercayai melanggar mangsa yang berada di laluan hadapan pintu pagar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Al Fatihah.
Untuk informasi gaya hidup dan hiburan, layari http://www.lifestylemediahub.com
Sumber:https://www.kosmo.com.my/ & http://www.harianmetro.com.my





Leave a Reply