Kumpulan M-pop popular Malaysia, ALPHA, mencatat sejarah apabila diumumkan sebagai calon bagi kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song” di Music Awards Japan 2026 yang dibawakan oleh Spotify.
Pencalonan ini merupakan pencapaian antarabangsa pertama buat ALPHA sejak penubuhan kumpulan tersebut, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka di pentas global.

ALPHA yang dianggotai oleh Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D dan Afiq Sky turut mengukir sejarah apabila menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang tersenarai dalam kategori tersebut, sebaris bersama nama-nama besar industri muzik dunia seperti Taylor Swift, Justin Bieber, Lady Gaga, Blackpink, Shakira, TWICE, SEVENTEEN, Jin (BTS), ENHYPEN, Sabrina Carpenter dan ramai lagi.
Langkah Besar Ke PentaAntarabangsa
Pencalonan ini menandakan pengiktirafan penting terhadap perkembangan muzik ALPHA yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau dan antarabangsa. Ia juga mencerminkan peningkatan pengaruh muzik M-pop di luar negara, apabila karya artis Malaysia mula mendapat tempat dalam kalangan pendengar global.
Lebih membanggakan, lagu “P Ramlee Saloma” nyanyian ALPHA turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi lagu pertama hasil ciptaan rakyat Malaysia yang berjaya mara sebagai calon pusingan akhir di Music Awards Japan 2026.

Pencapaian ALPHA: 60 Juta Penstriman & Pelbagai Anugerah
Sejak kemunculan mereka dalam industri seni hiburan, ALPHA telah mencatat lebih 60 juta penstriman keseluruhan bagi lagu-lagu nyanyian mereka, sekali gus membuktikan penerimaan kukuh daripada peminat muzik tempatan dan serantau.
Kumpulan ini juga pernah membawa pulang dua anugerah di Gempak Most Wanted Awards, selain kejayaan besar lagu “P Ramlee Saloma” yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 40 carta Spotify Malaysia Daily Top Songs, termasuk mencapai kedudukan nombor satu selama 30 hari.
Lagu tersebut turut mencapai kedudukan nombor satu di carta RIM, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan ALPHA sebagai antara kumpulan muzik paling berpengaruh di Malaysia ketika ini.
ALPHA: “Ini Permulaan Perjalanan Kami Di Pentas Dunia”
Ahli kumpulan ALPHA menyifatkan pencalonan ini sebagai satu detik yang tidak pernah mereka jangka dalam perjalanan seni mereka.
“Pencalonan ini benar-benar memberi makna besar buat kami. Ia membuktikan bahawa muzik yang kami hasilkan mampu melangkaui sempadan, dan kami sangat bersyukur kerana dapat berkongsi detik ini dengan peminat yang sentiasa bersama sejak hari pertama.”– Daniel Sher
Undian awam bagi kategori “Best of Listeners’ Choice: International Song” masih dibuka dari 30 April hingga 20 Mei 2026 di laman rasmi www.musicawardsjapan.com, memberi peluang kepada peminat di seluruh dunia untuk terus menyokong ALPHA di pentas antarabangsa ini.
ALPHA Terus MenduniaPencalonan di Music Awards Japan 2026 ini menjadi satu detik penting dalam perjalanan ALPHA sebagai antara wajah baharu muzik M-pop yang semakin mendapat perhatian global. Dengan sokongan peminat serta pencapaian yang semakin kukuh, ALPHA terus melangkah ke hadapan sebagai antara kumpulan yang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan penuh kebanggaan.
Tahniah ALPHA!
Untuk informasi gaya hidup dan hiburan, layari http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply