Malam Penuh Magis Buat Peminat Setia
Terbuai dek kenangan dan memori zaman remaja. Ya, itulah yang boleh digambarkan tatkala melihat sosok tubuh Fauziah Latiff mengambil tempat di pentas Plenary Hall, KLCC hujung minggu lalu.
Meskipun banyak ‘suara-suara sumbang’ yang memberi pelbagai pandangan mengenai vokal, namun Fauziah Latiff membuktikan aura dan pengaruhnya masih utuh apabila berjaya memukau lebih 3,000 peminat menerusi konsert 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert.
Apa yang dapat penulis simpulkan, komen-komen tersebut datangnya dari pihak yang tidak menonton persembahan tersebut, tetapi sekadar memberi pandangan kosong semata.

Rata-rata peminat yang datang pada malam tersebut ingin Digamit Memori untaian hitsnya sejak aktif di sekitar akhir tahun 80-an. Malah tidak salah jika dikatakan, mereka adalah peminat tegar dan setia yang mengikuti perjalanan karier nyanyiannya yang sempat redup bersama kehidupan sederhana serta low profilenya.
Penulis sendiri sejak menghadiri sidang media penyanyi ini Disember tahun lalu sememangnya looking forward untuk konsert tersebut. Bukannya untuk mengukur vokal penyanyi berusia 55 tahun ini, tetapi nak mengembalikan Catatan Diari Remaja penulis yang membesar dengan deretan koleksi lagu-lagu hits penyanyi kesayangan ramai ini.

Persembahan selama lebih dua jam itu membawa penonton menyusuri perjalanan muzik Fauziah Latiff menerusi rangkaian lagu-lagu hit malar segar yang pernah menjadi siulan ramai.
Membuka tirai persembahan dengan lagu Setiaku Korbankan, vokal Jee begitu menyerlah cuba menyampaikan persembahan terbaik. Sokongan para penonton yang sing a long banyak menaikkan semangat Jee yang tentunya Dilanda Asmara dengan sokongan para peminatnya malam itu.
Jee meneruskan persembahan pada segmen pembukaan yang diselitkan elemen emosi dengan lagu Apa Sebenarnya, Tua Mengejar Kita, Bukan Berpatah Arang dan Aku Sebutir Pasir. Pada pandangan penulis, seleksi lagu Jee untuk segmen emosi ini jelas menggambarkan emosi dirinya yang tidak mahu peminat melihat Antara Kini Dan Semalam dan Bayangan Kenangan lalu.
“Jee Tak Perlu Minta Maaf”- Peminat
Banyak kali penghibur berusia 55 tahun ini meminta maaf. Beliau juga melahirkan rasa takut. Antara yang diluahkan Jee adalah kegundahannya yang berbunyi: “might not be perfect tapi akan menjadi memorable untuk kita semua”. Kata-kata Pengakuan Dari Hati Fauziah Latiff itu tampak jujur melambangkan Gelora yang ada di hati Dia.
Segmen kedua pula dilatari lagu-lagu malar segar antaranya termasuklah Enggan, Ku Pohon Kemaafan, Aku Masih Seperti Dahulu, Bukan Kemahuan Fikiran dan Tiada Noktar Cinta. Jee juga turut mengundang Dato Jamal Abdillah menyanyi bersamanya lagu duet Kehebatan Cinta di samping dua lagu Dato Jamal Abdillah iaitu Penghujung Rindu dan Gadis Melayu.
Persembahan vokal yang mantap serta penghayatan mendalam daripada Fauziah Latiff menjadi bukti bahawa beliau masih berada di kelas tersendiri dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa!
Potret Cintaku dari Jee untuk para peminat diteruskan dengan lagu-lagu malar segar seperti Kau Merubah Segalanya, Batas Menanti, Kenari dan Sahabat. Manakala dua lagu rancak yang suatu ketika dahulu dapat menyaksikan Jee lincah menari di pentas iaitu Di Muara Sepi dan Sekilas Senyumanmu mendapat sentuhan medley dengan susuana muzik yang diberi nafas segar. Jee tetap comel menari dengan langkah tersusun!

Elemen Lain Pelengkap Di Gamit Memori
Konsert ini turut diserikan dengan produksi pentas yang eksklusif dan elegan, seiring dengan status Fauziah Latiff sebagai seorang diva. Rekaan pentas direka dengan nafas yang lebih moden bersama susun grafik elegan sesuai dengan penampilan anggun beliau dalam empat busana rekaan Ezuwan Ismail Kuala Lumpur berjaya menambahkan lagi seri persembahan sepanjang malam.

Iringan muzik daripada Chaan bersama barisan pemuzik profesional, persembahan tarian daripada Onstageproduction serta alunan harmoni daripada Azrin Music Studio menjadikan setiap segmen tampil lebih dramatik dan memukau. Sistem audio dan pencahayaan yang dikendalikan oleh Sound Innovations pula berjaya memberikan pengalaman konsert yang berkualiti tinggi buat semua penonton.
Untuk segmen seterusnya, Jee menyampaikan lagu Dia, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Yang Lebih Kau Cinta sebelum menyampaikan lagu ke 21 pada malam tersebut iaitu Gubahan Rindu Puisi Syahdu.
Momen paling ditunggu-tunggu oleh para peminat penyanyi Kau Yang Berbeza ini pastinya lagu penutup Teratai Layu Di Tasik Madu yang mencipta sejarahnya tersendiri meraih juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-8 pada tahun 1993. Lagu ikonik ini digubah oleh Adam Ahmad dan lirik ditulis oleh S. Amin Shahab, dimuatkan dalam album Epilog Memori Gelita.

Konsert 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi menjadi sebuah malam yang meraikan perjalanan seni seorang legenda yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama empat dekad. Kehadiran ribuan peminat membuktikan bahawa karya dan aura Fauziah Latiff masih terus hidup merentasi generasi.
Dengan sambutan luar biasa yang diterima, konsert ini pastinya akan kekal menjadi antara momen paling bersejarah dalam perjalanan seni Fauziah Latiff serta meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir di Plenary Hall KLCC.
Bagi penulis, semuanya berlangsung sederhana tetapi memiliki kualiti tersendiri. Jee tahu menilai kemampuan diri, tidak terlalu memaksa-maksa untuk menampilkan diri sebagai penyanyi bernada tinggi .Malah, konsert ini berjaya menerbitkan nuansa 90-an yang penuh nostalgia.

Buat peminat tegar yang hadir dan menikmati 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert di Plenary Hall pada malam bersejarah itu, Jee berjaya mencipta Bayangan Kenangan yang harapnya bukanlah Kali Terakhir buat penyanyi kesayangan ramai ini kerana Semuanya Bukan Halangan untuk Jee Aku Datang Lagi!
Terima kasih Jee kerana membuatkan para peminat di Plenary Hall 9 Mei lalu Dilanda Asmara Sejak Bersamamu dan semestinya Kau Yang Berbeza.
Terima kasih Teman, Ideatalier memberi Musim Bertukar Warna untuk peminat Fauziah Latiff mengimbas memori Antara Kini Dan Semalam.
Untuk informasi hiburan dan gaya hidup, layari http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply