Bagi pelakon versatil Johan As’ari, kehidupan yang dilaluinya hari ini bukan sekadar tentang kerjaya seni dan populariti, tetapi tentang warisan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah pudar daripada hatinya.

Meskipun sudah hampir sedekad berlalu sejak pemergian ibu tercinta, Allahyarhamah Datin Firdaus Abdul Kader, momen istimewa bersama ibu tetap terpahat utuh di ingatannya. Untuk rekod, ibu Johan meninggal dunia pada Mei 2015 akibat kanser tulang.

“Senyuman ibu, wajah ibu… tetap jelas terbayang di depan mata saya.”

Itulah bisikan hati seorang anak yang tidak pernah melupakan setiap detik bersama ibunya. Kenangan yang disulam dengan sentuhan kasih, masakan ibu setiap kali pulang ke rumah, dan amalan mencium tangan sebelum melangkah pergi, semuanya terus hidup dalam memorinya.

Sifat Ibu Di Warisi Johan

Antara nilai paling besar yang dipegang oleh Johan sehingga ke hari ini adalah semangat ukhwah dan sifat suka bergaul, yang menurutnya adalah sifat utama yang diwarisinya daripada arwah ibunya.

“Dalam keluarga, sifat silaturahim tu amat dititikberatkan. Arwah ibu sangat menjaga hubungan dengan orang. Itulah yang saya pegang dan amalkan sampai sekarang,” ujar Johan penuh syukur.

Bagi Johan, ukhwah bukan sekadar bersosial, tetapi tentang nilai Islam yang dibudayakan sejak kecil dan kini menjadi sebahagian daripada identitinya sebagai seorang anak seni dan juga insan biasa.

Ibu, Sumber Kekuatan Yang Tidak Pernah Hilang

Meskipun ibunya telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2015, Johan tidak menjadikan kesedihan sebagai alasan untuk tenggelam dalam kehilangan. Sebaliknya, dia mengangkat kenangan dan semangat ibunya sebagai inspirasi untuk terus kuat dan bahagia.

“Alhamdulillah, tenaga dan kekuatan yang ada dalam diri saya sekarang adalah kekuatan dari ingatan terhadap ibu. Ibu mahu saya bahagia… jadi setiap apa yang saya buat hari ini, semuanya diiringi dengan ingatan terhadap ibu.”

Sebagai seorang anak lelaki yang sangat rapat dengan ibunya, Johan reda dengan ketentuan Ilahi, namun jiwanya tidak pernah kering dari doa dan rindu.

Soal Jodoh: “Doakan Saya…”

Apabila menyentuh soal jodoh, Johan memilih untuk menyerahkan segalanya kepada aturan Tuhan. Tidak pernah mengeluh atau meratapi takdir, dia akur bahawa setiap manusia punya masa dan jalannya sendiri.

“Jodoh tu rahsia Allah. Jangan sebab putus cinta atau lambat bertemu jodoh, kita jadi sedih. Saya berpegang pada satu perkara. Kita ada ibu yang sentiasa sayang dan nak lihat kita bahagia. Kalau ibu doakan, InsyaAllah… jodoh itu akan datang dengan cara yang paling indah.”

Johan sempat berseloroh, namun penuh makna.

“Siapa yang tak mahu kahwin? Saya pun nak kahwin… Doakan saya.”, ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading