Memasuki angka lapan tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi Ziana Zain mengakui tidak pernah terlintas untuk kembali bergelar isteri, apatah lagi apabila mengenangkan keutamaan terhadap empat orang cahaya matanya.

Ujar Ziana, usia serta tanggungjawab sebagai ibu membuatkan dia lebih selesa memberi sepenuh perhatian kepada keluarga berbanding memikirkan soal cinta baharu.

“Sejujurnya, saya tidak terfikir pun. Pada usia menghampiri 60 tahun ini dan sejak bercerai dahulu lagi memang tidak terlintas.

Tengok Mata Anak-Anak, Ada Jawapannya

Menurut ibu kepada empat cahayamata ini, dia tidak sampai hati untuk melukakan hati anak-anaknya.

“Bila tengok mata anak-anak, saya tidak sampai hati. Takut mereka terasa, apatah lagi mereka sudah kehilangan satu sisi kasih sayang sebelum ini,” katanya menahan sebak.

Menurutnya, kebimbangan utama adalah soal emosi anak-anak sekiranya dia berkahwin semula, selain tidak mahu wujud jurang hubungan dengan figura bapa tiri.

“Saya takut jika berkahwin, tumpuan saya akan beralih. Anak-anak masih memerlukan kasih sayang lebih.

“Kalau berkahwin, itu bukan bapa sebenar mereka. Saya risau tiada persefahaman dan anak-anak akan terasa hati,” ujarnya ketika ditembual dalam audio siar Kasionzchannel yang dihoskan Erra Fazira dan suaminya, Ezwan Zain.

“Saya Tak Tolak Takdir Andai…’-Ziana Zain

Bagaimanapun, pelantun lagu Madah Berhelah ini tidak menolak ketentuan takdir andai dikurniakan jodoh buat peneman hidupnya pada masa hadapan meskipun tidak terlalu memikirkan perihal berkenaan.

“Keutamaan saya selepas Allah adalah anak-anak. Saya mahu hidup tenang bersama mereka, fikiran tenang, hati pun tenang.

“Saya mahu lihat mereka berjaya. Itu sahaja fokus saya sekarang.

“Kalau esok lusa ada ketentuan lain, itu urusan Allah. Tetapi buat masa ini, saya cuba elak dan fokus pada apa saya rasa penting,” jelasnya.

Menyifatkan dirinya sebagai ‘kenderaan’ buat anak-anak menuju masa depan lebih baik, Ziana berkata ia sekali gus menguatkan tekad untuk terus berdiri sendiri.

“Saya ibarat kenderaan membawa anak-anak ke destinasi lebih baik.

“Itulah tugas saya sebagai ibu dan saya mahu laksanakan sebaik mungkin,” luahnya.

Untuk rekod, Ziana sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas suami, Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 sebelum bercerai pada Julai 2018.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 26, Muhammad Ammar, 22, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 17.

Sekilas

10 faktor mengapa ramai wanita enggan kahwin lagi selepas bercerai:

  • Tanggungjawab terhadap anak. Keutamaan utama adalah anak. Ini mempengaruhi masa, komitmen, dan keputusan dalam memilih pasangan baharu.
  • Penerimaan pasangan baharu terhadap anak. Tidak semua lelaki bersedia memikul peranan sebagai bapa tiri, terutama jika belum pernah berkeluarga.
  • Komitmen kewangan. Membesarkan anak memerlukan kos tinggi. Ada pasangan yang mungkin risau tentang beban kewangan tambahan.
  • Hubungan dengan bekas pasangan. Jika masih perlu berurusan (contoh: penjagaan anak), ini boleh menimbulkan ketegangan atau rasa tidak selesa kepada pasangan baharu.
  • Masa untuk diri sendiri. Wanita dengan anak sering mempunyai masa sosial yang lebih terhad untuk berkenalan atau membina hubungan baharu.
  • Trauma atau pengalaman lepas. Pengalaman perkahwinan terdahulu boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati atau takut untuk berkahwin semula.
  • Persepsi masyarakat. Dalam sesetengah budaya, masih wujud stigma terhadap ibu tunggal, walaupun ia semakin berkurang.
  • Keutamaan hidup yang berubah. Selepas melalui perceraian, ramai wanita menjadi lebih selektif dan tidak mahu berkompromi seperti dahulu.
  • Keserasian dengan anak. Bukan sekadar keserasian antara pasangan, tetapi juga antara pasangan dan anak—ini faktor besar dalam keputusan berkahwin.
  • Cabaran emosi anak. Anak mungkin mengambil masa untuk menerima orang baharu dalam hidup ibu mereka, yang boleh mempengaruhi hubungan.

Untuk informasi hiburan dan gaya hidup, layari http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading