Sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik akhirnya menerima khabar gembira apabila masalah dihadapi mereka mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Detik menyentuh hati itu berlaku apabila seorang lelaki bersama isteri dan anaknya bertindak menahan konvoi kenderaan baginda yang melalui laluan Kampung Kuala Sat dengan membawa plakad bertulis ‘Ampun Tuanku mohon berhenti sekejap’ bagi menarik perhatian Al Sultan Abdullah.
Tindakan berani keluarga terbabit berjaya apabila Al Sultan Abdullah dilihat memperlahankan kenderaan sebelum berhenti untuk mendengar sendiri luahan dan aduan rakyat baginda.

Menerusi video tular di aplikasi Tiktok yang dimuat naik pemilik akaun MuhammadRamadhan96 semalam, lelaki berkenaan dilihat mengadu mengenai nasib keluarganya yang sudah lebih sedekad hidup tanpa bekalan elektrik.
Tenaga Solar & Bateri Kereta
Difahamkan keluarga tersebut selama ini bergantung sepenuhnya kepada tenaga solar serta bateri kereta bagi mendapatkan bekalan elektrik asas untuk kegunaan harian di rumah mereka.
Dalam rakaman sama, lelaki berkenaan turut dilihat menyerahkan sendiri surat permohonan bekalan elektrik kepada Al-Sultan Abdullah dengan harapan masalah tersebut dapat diselesaikan segera.
Keprihatinan Sultan Pahang terhadap aduan berkenaan membuahkan hasil apabila pada hari sama, permohonan bekalan elektrik keluarga tersebut diluluskan dan kini hanya menunggu proses pemasangan tiang serta meter elektrik.
Perkongsian video itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan keprihatinan baginda dalam mendengar sendiri masalah rakyat.
Seorang pengguna dikenali sebagai Cheq Sue meluahkan, dia sebak melihat situasi keluarga terbabit dan menyifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai pemimpin yang sentiasa dekat di hati rakyat.
Seorang lagi netizen, aishah, turut memuji tindakan pantas Sultan Pahang dengan menyifatkan baginda sebagai seorang pemerintah yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Kes berkenaan akhirnya mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Haris Salleh Hamzah memaklumkan masalah itu kini dalam proses penyelesaian.

Menurut Haris Salleh, pihaknya segera menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan penduduk terbabit.
“Kini masalah berkenaan telah selesai dan saya dimaklumkan TNB sudah menerima permohonan penduduk terbabit.
“Kelulusan juga sudah diperoleh daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memasang tiang dan menyambung bekalan elektrik ke rumah berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 33 batang tiang akan dipasang dan kerja penyambungan bekalan elektrik dijangka siap dalam masa terdekat.
Ditanya faktor kelewatan, Haris Salleh antaranya disebabkan status tanah didiami keluarga terbabit yang masih dikategorikan sebagai tanah kerajaan sejak 13 tahun lalu.
“Bagaimanapun, kita akan berbincang dengan Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengikut peraturan sedia ada,” katanya.
Sumber: https://www.kosmo.com.my/ & https://www.buletintv3.my/





Leave a Reply