“Dia memegang janji..”Kisah Syakir dan Erina membuktikan cinta sejati bukan tentang kesempurnaan, tetapi pengorbanan.
“Suami awak adalah lelaki yang sebenar. Dia memegang janji. Perkahwinan seperti mereka ini sangat jarang kita jumpa sekarang”.
Demikian luahan penuh kagum daripada penyampai radio Era, Nabil Ahmad ketika mengulas mengenai kisah pasangan pengantin baharu yang tulat dan menyentuh hati ramai baru-baru ini.

Dalam dunia yang sering meletakkan kesempurnaan sebagai syarat untuk dicintai, kisah Syakir dan Erina Rasid hadir sebagai bukti bahawa cinta yang palin gindah sebenarnya lahir daripada penerimaan, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi.
Pasangan yang berasal dari Pahang dan Perak ini bukan sekadar disatukan oleh rasa cinta, tetapi juga perjuangan panjang melawan penyakit yang menguji fizikal, emosi dan kekuatan jiwa mereka.
Syakir merupakan seorang pejuang kanser yang telah menjalani lebih 100 sesi kemoterapi sepanjang hidupnya. Sementara itu, Erina pula diuji dengan penyakit Systemetic Lupus Erythematosus (SLE) serta penyakit Chorn iaitu radang usus kronik yang memerlukan pemantauan secara berterusan.
Pertemuan Yang Tak Terduga
Pertemuan mereka bermula secara tidak disangka-sangka di laman TikTok.
menurut Syakir, Erina terlebih dahulu menghubunginya selepas melihat satu video yang dimuat naik ketika dia sedang menarik rambut yang gugur akibat kesan rawatan kemoterapi.
Namun apa yang menarik perhatian wanita itu bukanlah penderitaan yang sedang dilalui Syakir, sebaliknya senyuman yang masih mampu terukir di wajah lelaki tersebut.
“kami berjumpa di media sosial. Isteri saya yang mendekati saya dahulu. Dia bertanya bagaimana saya masih boleh tersenyum dengan keadaan seperti itu,” imbaunya.

Jawapan Syakir ketika itu akhirnya menjadi titik perubahan dalam hidup Erina.
“Saya kata, kenapa awak mahu bersedih? Jika itu dugaan untuk awak, kita harus teruskan hidup dan sentiasa positif.
“Kalau negatif, seolah-olah kita membiarkan penyakit itu menang. Kita hidup, jadi biarlah kita yang menentukan hidup kita, bukan penyakit yang menentukan hidup kita,” katanya.
Kata-kata yang lahir daripada seorang lelaki yang sedang bertarung nyawa itu akhirnya menjadi cahaya buat Erina yang pernah berdepan saat-saat putus asa dalam hidupnya.
Cinta Berputik
Daripada sekadar teman berkongsi semangat, hubungan mereka berkembang menjadi cinta yang tulus. Walaupun menyedari pelbagai kekurangan dan cabaran kesihatan yang perlu dihadapi bersama, kedua-duanya memilih untuk tidak berpaling.
Malah ketika Syakir melalui fasa paling sukar dalam rawatan kansernya, Erina tetap setia berada di sisi dan memegang janji untuk terus bertahan sehingga mereka sah bergelar suami isteri.

Bagi Syakir, isterinya bukan sekadar pasangan hidup, tetapi insan yang memberinya sebab untuk terus berjuang setiap hari.
“Kami menerima kekurangan masing-masing dan berjuang bersama tanpa pernah mengalah,” katanya.
Erina pula mengakui suaminya banyak mengubah cara dia melihat kehidupan.
“Sejak mengenali dia, banyak perkara berubah. Dulu saya pernah berputus asa, tetapi dia sentiasa menyokong saya. Apabila melihat dia mampu melawan penyakit dan kembali kuat, saya rasa saya perlu menjadi kuat seperti dia,” jelasnya.
Penghargaan Buat Isteri
Sempena hari bahagia mereka baru-baru ini, suasana bertukar hiba apabila Syakir meluahkan penghargaan kepada wanita yang sanggup menerima dirinya dalam keadaan serba kekurangan.
“Kami sama-sama belajar dan berjuang. Apa pun yang berlaku, jangan sesekali mengalah kerana setiap langkah kecil akan membawa kepada keputusan yang besar.
“Jangan berhenti berjalan, teruskan melangkah,” pesannya.
Dengan suara yang sebak, Syakir turut mengucapkan terima kasih kepada Erina yang tidak pernah meninggalkannya walaupun ketika dirinya berada di titik paling lemah.
“Sampai hari ini saya nak ucapkan terima kasih kerana sentiasa ada dan menerima saya.
“Saya mungkin tidak mampu membalas semuanya, tetapi saya sudah tunaikan janji saya. Saya akan jaga awak sampai bila-bila,” tuturnya.
Tidak mampu menahan air mata, Erina pula meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang melihat dirinya dengan penuh kasih sayang, bukan melalui kelemahan yang dimilikinya.

“Terima kasih kerana tak pernah menyerah dan tetap menerima saya walaupun saya mempunyai banyak kekurangan yang orang lain mungkin tak boleh terima.
“Awak tak pernah rasa terbeban dan tak pernah anggap saya menyusahkan. Terima kasih kerana sudi menjaga saya, insya-ALLAH sampai akhir hayat,” katanya.

Kisah mereka mengingatkan bahawa perkahwinan bukanlah tentang mencari seseorang yang sempurna. Sebaliknya, ia adalah tentang memilih untuk tetap tinggal, tetap setia dan terus menggenggam tangan pasangan ketika kehidupan menghadirkan ujian yang paling berat.
Kerana cinta yang sebenar bukan diukur ketika semuanya indah, tetapi ketika dua hati memilih untuk terus berjuang bersama walaupun dunia seakan-akan runtuh di sekeliling mereka.
Tidak hairanlah perkongsian tersebut dihujani pelbagai komen positif daripada warganet yang tersentuh dengan ketulusan cinta pasangan itu.
Bagi ramai, Syakir dan Erina bukan sekadar pasangan pengantin baharu, tetapi lambang bahawa cinta yang disandarkan kepada kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan masih wujud hingga hari ini.
Sumber: Instagram




Leave a Reply