Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Bidan Sari, Kampung Kok Bedullah ketika jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai semalam dikebumikan.

Memetik laporan Berita Harian https://www.bharian.com.my/, jenazah Safinaz Razmi, 52, dan anaknya, Jasmin Lyana Mohd Jamil, 22, serta cucunya, Nur Nuha Helena Abd Matin yang berusia enam bulan dikebumikan dalam satu liang kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
Penghormatan Terakhir
Suami Jasmin Lyana, Muhammad Danial Darwisy Che Hasmadi, 23, yang turut cedera dalam kemalangan dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) turut hadir selepas meminta kebenaran pihak hospital untuk hadir melihat jenazah isteri serta anaknya buat kali terakhir.

Ketika ditemui, Muhammad Danial berkata mereka empat sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mentua di Kampung Bedullah untuk menyambut Aidiladha dan pada masa sama akan mengadakan majlis aqiqah untuk cahaya mata sulungnya.
“Kejadian berlaku sangat pantas dan sebaik sedar, saya dapati sudah ada di tepi jalan dan diangkat anggota bomba.
“Fikiran saya terus teringatkan anak, isteri dan ibu mentua dalam kereta, namun dalam masa sama terasa sakit di beberapa anggota badan akibat kemalangan itu,” katanya.
Dalam kemalangan jam 7 pagi semalam itu, Perodua Bezza dipandu Muhammad Danial dipercayai memotong kenderaan lain sebelum bertembung Toyota Alphard.
Akibat kemalangan itu, dia mengalami kecederaan dalaman termasuk buah pinggang serta pendarahan pada perut.
Muhammad Danial berkata, dia dan arwah isteri adalah kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Lumpur dan mendapat cuti seminggu untuk pulang beraya.

“Berat untuk saya terima takdir ini apabila dua insan tersayang diambil sekelip mata, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Kira-kira 100 sanak saudara dan penduduk kampung hadir mengiringi ketiga-tiga jenazah yang terlebih dahulu disolatkan di kediaman Allahyarham Safinaz, di sini.
Al Fatihah.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply