Insiden suami memarahi isteri di khalayak ramai sering mendapat perhatian netizen seperti kejadian tular baru-baru ini.

Sejak beberapa hari ini tular mengenai seorang wanita ditengking suami dalam kejadian di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai. Wanita tersebut tampil menjelaskan kejadian sebenar.

Menerusi rakaman audio yang dikongsikan seorang pengguna Threads, wanita tersebut menjelaskan video yang tular di media sosial sejak semalam sebenarnya berlaku kira-kira empat bulan lalu.

Katanya, banyak dakwaan yang tersebar mengenai kejadian tersebut telah ditokok tambah sehingga menimbulkan salah faham terhadap suaminya.

“Video yang awak tengok itu sebenarnya empat bulan yang lepas, tetapi diviralkan (ditularkan) semalam. Benda (perkara) itu sebenarnya sudah ditokok tambah.

“Anak akak (saya) menangis sebenarnya bukannya dimarahi oleh suami. Dia sendiri terjatuh sebab dekat situ ada batu. Akak ambil dan dukung anak akak,” katanya.

Tepis Dakwaan

Jelas wanita itu, dakwaan berhubung suaminya menengking atau memarahi anak mereka adalah tidak tepat sama sekali kerana lelaki tersebut mempunyai suara yang lantang, sekali gus menimbulkan persepsi berbeza dalam kalangan netizen.

“Suara suami akak memang kuat. Akak dah hidup lama dengan dia. Akak tahulah percakapannya macam mana, tetapi orang yang viralkan video itu cakap suami akak macam nak bergaduh. Padahal bukan (tidak),” katanya.

Mengulas punca suaminya datang ke tempat kerja pada hari kejadian, wanita itu berkata, pasangannya perlu bekerja pada pukul 7 malam, sedangkan pada masa sama dia pula diminta bekerja lebih masa (OT).

“Suami akak datang ke tempat kerja sebab dia nak masuk kerja pukul 7, tetapi akak kena OT sampai pukul 7 juga. Itu yang suami akak kata akak kena ambil anak dulu sebab dia nak masuk kerja, tetapi masa memang tak mengizinkan,” ujarnya.

Sebelum ini, satu hantaran di Threads meraih jutaan tontonan apabila mendakwa seorang lelaki menengking isterinya yang sedang bekerja sambil mendukung anak kecil di hadapan sebuah restoran makanan segera di Senai sehingga mengundang kecaman netizen.

Susulan itu, lelaki tersebut tampil membuat permohonan maaf terbuka di Facebook dan sedia untuk berjumpa dengan mana-mana individu yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.

“Sekali lagi saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam hidup saya. Insya-Allah saya akan ubah sikap saya yang tidak baik.

“Saya doakan semoga semua yang terlibat dalam hidup saya diberikan kebahagiaan dunia dan akhirat. Insan yang penuh dengan kekurangan,” katanya.

Malah, lelaki itu turut memuat naik satu lagi hantaran menyatakan kesediaannya untuk berjumpa mana-mana individu yang mahu mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.

Sumber: Kosmo

Dapatkan informasi gaya hidup dan hiburan di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading