Kasih seorang ibu sering kali hadir bersama naluri yang sukar dijelaskan. Begitulah perasaan yang menyelubungi hati seorang ibu warga emas, Fatimah Ismail, 78, apabila beliau melepaskan anak kesayangannya pergi bekerja buat kali terakhir pada pagi itu.
Koperal Norazmi Abu Bakar, anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), yang terkorban dalam insiden letupan ketika Latihan Membaling Grenad di Kem Hobart, Gurun semalam, bukan sekadar seorang anggota tentera yang berbakti kepada negara.

Di mata ibunya, beliau adalah anak yang tidak pernah meninggikan suara, tidak pernah melawan kata dan sentiasa meletakkan keluarga di tempat paling istimewa dalam hidupnya.
“Kalau saya marah atau tegur, dia hanya diam. Dia tidak pernah membalas. Dia anak yang sangat baik,” kata Fatimah sambil menahan sebak ketika mengenang anak ketiganya daripada lima beradik itu.

Jamah Masak Ibu Penuh Selera
Pertemuan terakhir mereka kini menjadi kenangan yang paling menyayat hati. Pada malam sebelum tragedi, Norazmi pulang ke rumah keluarga di Merbok, Sungai Petani sekitar jam 11.30 malam semata-mata untuk menjenguk ibu, bapa dan adik bongsunya.
Walaupun memaklumkan sudah makan, langkahnya tetap menuju ke dapur. Di situlah dia menikmati nasi dan gulai ikan air tangan ibunya dengan penuh berselera.
“Selalunya dia makan sedikit sahaja bila balik rumah. Tapi malam itu dia makan banyak. Saya hanya melihat dan tidak sangka itu sebenarnya hidangan terakhir yang saya sediakan untuk anak saya,” luah Fatimah.
Saat Subuh menjelma, seperti kebiasaan seorang ibu yang sentiasa mengambil berat tentang anak-anaknya, Fatimah mengejutkan Norazmi untuk bersiap ke tempat kerja. Ketika menyentuh tubuh anaknya itu, beliau sempat berasa sesuatu yang sukar diterjemahkan.
“Saya pegang badannya, terasa sangat sejuk. Saya suruh dia bangun dan saya buatkan kopi panas untuknya,” katanya.
Selepas menikmati kopi tersebut, Norazmi mencium tangan ibunya sebelum melangkah keluar. Fatimah pula sempat berpesan agar anaknya memandu dengan berhati-hati ke kem.
Namun pagi itu berbeza.
“Kebiasaannya saya tengok biasa sahaja bila dia keluar rumah. Tapi hari itu saya berdiri dan tunggu sampai keretanya hilang dari pandangan. Saya tak tahu kenapa, hati saya rasa sangat berat. Rasa sayang sangat dekat dia ketika itu,” katanya dengan suara yang mula bergetar.
Naluri seorang ibu yang tidak pernah salah akhirnya menjadi kenyataan yang paling perit untuk diterima.
Sekitar tengah hari, telefon bimbitnya berdering. Di hujung talian ialah menantunya. Dengan nada yang penuh kesayuan, wanita itu meminta beliau bersabar sebelum menyampaikan berita yang meruntun jiwa seorang ibu.
Anak yang dicium dan dilepaskannya beberapa jam sebelumnya telah pergi buat selama-lamanya.
“Saya terkejut. Tidak sangka dia pergi dahulu sebelum saya. Tapi saya reda, ini ketentuan Allah,” katanya sambil mengesat air mata.
Bagi adik bongsunya, Norazrul Fitri, kehilangan itu turut meninggalkan luka yang mendalam. Walaupun Norazmi dikenali sebagai seorang yang tegas, beliau sebenarnya seorang abang yang penyayang, gemar bersembang dan sentiasa mengambil berat tentang keluarga.
“Semalam dia banyak berdiam diri. Kami tidak sangka itu kali terakhir kami melihatnya,” katanya.
Tragedi yang meragut nyawa Norazmi dan rakan seperjuangannya, Prebet Siti Khadijah Sungip, bukan sahaja meninggalkan kehilangan besar kepada pasukan keselamatan negara, malah merobek hati insan-insan yang paling menyayanginya.

Di sebalik seragam tentera yang dipakai dengan penuh bangga, Norazmi adalah seorang anak yang pulang untuk menikmati masakan ibunya, seorang suami yang dicintai, seorang abang yang disayangi dan seorang insan yang meninggalkan kenangan yang tidak akan pernah pudar dalam hati keluarganya.
Kadangkala, kasih seorang ibu tidak memerlukan kata-kata. Cukup dengan pandangan yang tidak mahu beralih ketika anak melangkah pergi, kerana mungkin hati seorang ibu sudah merasakan sesuatu yang tidak mampu diungkapkan.
Al Fatihah..
Dapatkan informasi gaya hidup dan hiburan di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply