Semangat dan kegigihan anak peneroka FELDA terus membuahkan hasil apabila Raudah Binti Abidin, Pengarah Easy Paint Global Sdn. Bhd., dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Luar Bandar FELDA sempena Hari Peneroka FELDA 2026.
Berasal dari FELDA Adela, Kota Tinggi, Johor, Raudah menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya bukan sekadar kejayaan peribadi, malah sebagai penghargaan kepada seluruh warga FELDA Adela yang sentiasa memberi sokongan sepanjang beliau membangunkan perniagaan.

“Saya sangat berbangga dan bersyukur kerana dapat membawa pulang pengiktirafan ini untuk warga FELDA Adela. Walaupun saya bertanding dalam kategori usahawan luar bandar, kejayaan ini membuktikan anak FELDA juga mampu berdiri sama tinggi dan bersaing dengan usahawan lain di seluruh negara,” katanya.
Anak Peneroka
Menurut beliau, latar belakang sebagai anak peneroka dan membesar di kawasan FELDA tidak pernah menjadi penghalang untuk mengejar impian dalam bidang keusahawanan.
“Kalau kita mempunyai keyakinan, kesungguhan dan tidak mudah berputus asa, insya-Allah kita juga mampu berjaya walaupun berasal dari kawasan luar bandar,” katanya.
Raudah berkata, syarikat yang diterajuinya, Easy Paint Global Sdn. Bhd., mengeluarkan produk cat Easy Paint yang dibangunkan dengan memberi penekanan kepada kualiti serta penjimatan penggunaan. Produk tersebut sesuai digunakan pada pelbagai permukaan termasuk besi, kayu, simen dan dinding bagi kegunaan dalaman serta luaran.

Beliau berkata, kejayaan membangunkan jenama sendiri merupakan hasil usaha berterusan dan sokongan pelbagai pihak yang sentiasa percaya terhadap kemampuan usahawan anak FELDA.
Dalam pada itu, Raudah merakamkan penghargaan kepada FELDA kerana menyediakan platform yang membuka peluang kepada usahawan luar bandar untuk mengetengahkan produk serta mengiktiraf kejayaan mereka menerusi penganjuran Anugerah Usahawan FELDA.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada FELDA, seluruh warga FELDA Adela, keluarga, rakan-rakan dan semua yang sentiasa memberi semangat kepada saya. Tanpa sokongan mereka, saya mungkin tidak berada di tahap ini,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai anak muda FELDA berani melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan melihat kawasan rancangan sebagai tempat untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

“Kepada semua anak muda FELDA, teruskan perjuangan dalam bidang perniagaan. Jangan pernah rasa rendah diri kerana kita berasal dari FELDA. Dengan keyakinan, usaha yang berterusan dan ketekunan, insya-Allah kita juga mampu mencipta kejayaan dan mengharumkan nama keluarga serta tanah rancangan kita,” katanya.

Anugerah Usahawan Luar Bandar FELDA merupakan antara pengiktirafan yang diberikan kepada usahawan berjaya dalam kalangan warga dan anak peneroka yang berjaya membangunkan perniagaan serta memberi inspirasi kepada komuniti luar bandar.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply