Pelbagai ragam selebriti dapat dilihat apabila dikurniakan cahaya mata. Ada yang membuat akaun media sosial untuk anak mereka seawal usia sehari, ada pula yang melibatkan anak dalam sesi penajaan atau endorsement barangan terutamanya barangan keperluan bayi dan kanak-kanak.

Namun bagi penyanyi dan pelakon Nabila Razali, dia memilih untuk tidak terlalu mendedahkan wajah anak sulungnya, Nik Muhammad, 18 bulan, kepada umum sebagai menghormati permintaan suaminya, selain mahu menjaga privasi keluarga.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Mohd Razali, 34, berkata buat masa ini dia hanya berkongsi beberapa gambar anaknya di media sosial sekadar untuk menghargai peminat yang sering bertanya mengenai perkembangan cahaya mata mereka.
“Setakat ini saya menghormati keputusan suami yang tidak membenarkan untuk kerap mendedahkan muka anak. Kebanyakan jenama juga hanya bekerjasama dengan saya, jadi saya tidak mahu membabitkan orang lain termasuk anak saya.

“Cuma ada sesekali saya berkongsi kerana ramai yang bertanya, jadi sekurang kurangnya mereka tahu inilah Muhammad anak Nabila Razali,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Bliss Juice, Smoothie & Dessert dan Nabila Razali, semalam.

Menurutnya, keputusan itu bukan sahaja dibuat bagi menghormati pendirian suaminya, malah sebagai langkah melindungi anak mereka daripada sebarang perkara yang tidak diingini.
Katanya, Nik Muhammad sebenarnya sudah menerima beberapa tawaran kerjasama daripada pelbagai jenama, namun mereka merasakan belum tiba masanya untuk menerima tawaran berkenaan.

“Dengan keadaan dunia sekarang yang macam-macam berlaku termasuk penggunaan AI (teknologi kecerdasan buatan), saya sendiri pun jadi takut. Sebab itu saya sangat faham keputusan suami. Ia lebih kepada menjaga privasi keluarga.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki dan suami mengizinkan, saya akan pertimbangkan tawaran untuk Nik Muhammad pada masa akan datang,” katanya.

Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada November 2023 dan pasangan itu dikurniakan anak sulung yang dilahirkan pada 23 Disember 2024.
Dalam perkembangan lain, Nabila berkata, kerjasama dengan jenama minuman Bliss menjadi titik permulaan untuknya memberi tumpuan lebih serius dalam bidang keusahawanan.
Katanya, selain bertindak sebagai duta, dia turut terbabit secara langsung dalam aspek perancangan dan strategi pemasaran jenama itu, termasuk bakal memperkenalkan perisa pilihannya dalam masa terdekat.
Tahniah Nabila Razali!
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply