Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan yang membebaskannya daripada pertuduhan yang dihadapinya.

Dalam kenyataannya, Syed Saddiq menyifatkan keputusan itu bukan sekadar mengenai kebebasan dirinya, sebaliknya menjadi lambang bahawa kebenaran perlu dipertahankan walaupun terpaksa melalui ujian yang panjang.

“Alhamdulillah. Hari ini, mahkamah tertinggi negara telah membuat keputusan. Pembebasan saya kekal. Tetapi hari ini bukan sekadar tentang kebebasan saya. Ini tentang satu prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan, walaupun harga yang perlu dibayar sangat mahal,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang lebih enam tahun berdepan proses perundangan, beliau tidak pernah melarikan diri, menangguhkan prosiding atau meminta layanan istimewa.

Menurutnya, pengalaman tersebut mengukuhkan kepercayaannya bahawa Malaysia perlu dipimpin oleh individu yang sanggup mempertahankan prinsip, meskipun terpaksa mengorbankan kedudukan.

Syed Saddiq turut mengakui perjalanan kes itu hampir merampas masa, nama baik dan masa depannya, namun tidak pernah menghakis keyakinannya terhadap masa depan Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, keluarga, tunang, pasukan guaman, sahabat-sahabat, rakyat Muar serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah putus memberikan sokongan dan mendoakannya sepanjang tempoh perbicaraan.

Katanya, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan hanyalah bersifat sementara, manakala prinsip, maruah serta khidmat kepada rakyat merupakan warisan yang paling bermakna untuk generasi akan datang.

Syed Saddiq turut menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam susulan keputusan mahkamah itu, sebaliknya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.

Hari ini bukan hari untuk membalas dendam. Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar. Selepas ini, saya terus ke Parlimen kerana perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya. Ia sentiasa mengutamakan Malaysia,” katanya.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading