Kemeriahan Konsert Memento Mori Exists masih hangat diperkatakan kerana ia berjaya mengimbau memori 35 tahun penubuhan kumpulan yang dianggotai oleh tujuh anak muda itu.

Bagi penulis yang sememangnya membesar dengan lagu-lagu malar segar Exists, variasi lagu popular dan kurang diddengari di radio tidak memberikan impak ‘bosan’ kerana lagu-lagu tersebut pernah didengari melalui aplikasi mahupun CD yang masih tersimpan elok dalam koleksi peribadi penulis.

Namun bila tiba giliran Mamat mendendangkan lagu “Untukmu Ibu”, ia merupakan antara momen paling emosi dan menggetarkan jiwa penulis sepanjang Konsert Memento Mori yang meraikan ulang tahun ke-35 penubuhan kumpulan legenda Exists itu.

Setiap bait lirik yang dialunkan seolah-olah membawa hadirin mengimbau kembali pengorbanan, kasih sayang dan doa seorang ibu yang tidak pernah bertepi.

Mana tidaknya, visual di layar skrin memaparkan beberapa ‘pesanan ringkas’ yang menusuk kalbu menggambarkan luahan hati untuk insan bergelar ibu.

Lebih menyentuh hati, persembahan itu diselitkan dengan visual yang menggambarkan hubungan erat antara ibu dan anak, detik-detik pengorbanan seorang ibu serta kenangan indah bersama insan yang paling disayangi.

Gabungan vokal yang sarat emosi dan paparan visual yang menyayat hati menjadikan suasana dewan dipenuhi rasa hiba, malah ada dalam kalangan penonton yang tidak dapat menahan air mata.

“Ibu…malaikat, penyembuh hati, pemecah masalah dan madrasah terindah”

“Buat yang tiada, peluk mereka dengan doa dan ingatan paling teduh’.

“Pelukan serta doa ibu…rumah paling menenangkan di dunia…Sesaat awal lebih baik dari lewat penuh sesalan seusia”.

“Untukmu Ibu, Saya Sayang Ibu Selamanya….

“Aduh laju je air mata bila suara Mamat mendendangkan lagu popular ini apatah lagi dengan nota visual yang memberi pesanan padu khususnya untuk mereka yang telah kehilangan ibu,” antara komen di laman Instagram @lifestylemediahub.com

Persembahan tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi sebuah penghormatan yang mengingatkan setiap insan agar sentiasa menghargai kasih sayang, pengorbanan dan kehadiran seorang ibu selagi masih diberi kesempatan.

Konsert berskala besar yang diadakan di Unifi Arena, Bukit Jalil ini amat istimewa kerana ia berjaya menggabungkan semula tujuh anggota asal mereka termasuk dua vokalis ikonik, Mamat dan Ezad Lazim, di atas satu pentas.

Sepanjang hampir tiga jam, peminat dibawa mengimbau kenangan dengan dendangan lebih daripada 30 buah lagu.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading