MALAM 1 Ogos cipta kenangan indah buat Gen X dan Millenials yang membesar dengan karya-karya Exists! Konsert Exists Memento Mori di Unifi Arena, Bukit Jalil membuktikan kumpulan yang ditubuhkan pada 1991 ini masih berbisa dan berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Meskipun cuaca hujan pada petang sebelum konsert bermula, ia tidak menjadi halangan peminat hadir memberikan sokongan untuk kumpulan kesayangan mereka.
Lebih mencipta momento, bila para peminat hadir bergaya mengikut tema pakaian yang disarankan, sekali gus menaikkan vibes ikonik band yang ditubuhkan sejak 1991 ini.

Penonton hadir terdiri daripada pelbagai lapisan usia, daripada peminat tegar era vokalis pertama, Mamat sehinggalah era Ezad Lazim, serta kelompok peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik mereka sehingga ke hari ini.

Pembukaan Penuh Hype!
Ezad tampil menerusi nyanyian bertenaga menerusi lagu Kerana Percayakan Siti, sebelum meneruskan kehangatan malam dengan trek Mama Tolonglah Percaya.
Sebaik sahaja aksi pembukaan tamat, pentas terus dihangatkan dengan persembahan berselang-seli antara Ezad dan Mamat yang saling berganti menyampaikan lagu-lagu malar segar yang menjadi hits di era masing-masing.
Pemilihan lagu pada malam itu ternyata bijak menyusun emosi penonton. Tidak dinafikan Exixts mempunyai ratusan lagu-lagu hits yang menjadi siulan sezaman. Namun untuk jangka masa 3 jam, mustahil untuk mempersembahkan lagu-lagu kegemaran yang menjadi pilihan para peminat.
Barisan senarai lagu popular seperti Alasanmu, Anugerah, Bunga, Dengan Atau Tanpamu, Dirantai Digelangi Rindu, Disendi Dan Nadi, Hani Lempengnya Hangus, dan Hidupan Fantasi disampaikan dengan mantap, membuatkan seisi arena bergema dengan nyanyian bersama.

Meskipun ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan pemilihan lagu kurang popular di set list konsert, namun bagi peminat tegar Exists, itu bukanlah alasan untuk tidak menyokong kugiran kegemaran mereka ini.
Antara detik paling mencuri tumpuan apabila kedua-dua vokalis ini membawakan karya ikonik yang sama, namun dalam tonasi nan berbeza.
Ezad menyampaikan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar mengikut versi asalnya, manakala Mamat pula memukau dewan menerusi versi rakaman semula yang cukup popular di Indonesia, Buih Jadi Permaidani. Tapi bagi penulis, Mengintai Dari Tirai Kamar lebih dekat dihati dan lebih mudah dinyanyikan apabila bait lirik sudah sebati dengan penonton.
Kisah Kkjayaan lagu ini membuktikan betapa pengaruh muzik Exists melangkaui sempadan dan kekal mekar di Indonesia dan sering dijadikan lagu pilihan cover version di sana.
Konsert Exists pasti tidak lengkap tanpa seleksi lagu ‘berhantu’ yang mengusik jiwa. Persembahan lagu Untukmu Ibu, Seperti Dulu, Jesnita, Julia dan Rahsia Pohon Cemara menggamatkan penonton yang turut menyanyi bersama.
Apabila Mamat menyanyikan lagu Untukmu Ibu, emosi para penonton turut terusik apabila layar skrin memaparkan beberapa ‘pesanan untuk ibu’ yang mengusik perasaan.


Exists turut membuat kejutan dengan membawakan lagu nyanyian semula (cover), Tak Mungkin Berpaling, karya malar segar yang dipopularkan oleh kumpulan Slam.
Konsert Memento Mori ini turut memberi ruang kepada senarai lagu yang jarang didengar atau jarang dipersembahkan di atas pentas berprestij, memberikan nilai tambah yang amat dihargai oleh peminat tegar mereka. Antara lagu yang jarang dipersembahkan di pentas konsert termasuklah Kuman HIV, Konklusi dan Oh Benih Adam.

Di tengah-tengah kehangatan persembahan, Ezad dan Mamat sempat menyapa ribuan peminat yang hadir. Satu lagi momen yang menjadi suasana hangat apabila lagu Kapal terbang Kertas didendangkan dan para penonton diajak sama bermain Kapal Terbang Kertas yang bertebaran di segenap ruang stadium!
Rasa dihargai dan gembira jelas terpancar pada wajah kedua-dua penyanyi ini apabila melihat sokongan padu yang tidak pernah padam.
Pemandangan belasan ribu penonton bersorak, menari dan bernyanyi bersama dari awal hingga ke penghujung acara memberikan satu bukti jelas bahawa Exists masih mampu berdiri kukuh dan relevan.
Malah ramai yang berharap akan ada kesinambungan konsert ini bagi meraikan pemuzik yang berbakat ini dan kumpulan yang mempertahankan sifat brotherhood ini. Min setuju!
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply