NOIR Health & Beauty Sdn. Bhd sememangnya jenama lokal yang tidak perlu diperkenalkan lagi di pasaran tempatan kerana ia sering menjadi pilihan wanita yang mementingkan kecantikan secara semulajadi.

Hampir 10 tahun berada dalam pasaran, jenama ini memperkukuh langkah menembusi pasaran antarabangsa menerusi penajaan rasmi Women in Export (WiEX) @ MIHAS 2026, selaras dengan sasaran syarikat mencatat hasil eksport melebihi RM600 juta menjelang 2029.

WiEX @ MIHAS 2026 menyediakan platform yang menghubungkan pembangunan usahawan wanita dengan ekosistem perdagangan antarabangsa menerusi pameran, pemadanan perniagaan, program perolehan antarabangsa, forum dan anugerah WiEX.

Pengasas NOIR, Eriyca Baiduri Abd Rashid atau lebih dikenali sebagai Madammu berkata, kerjasama itu bukan sekadar memperkukuh kedudukan jenama, malah membuka peluang membina hubungan dengan pembeli antarabangsa, pengedar, rangkaian peruncitan dan pemain industri secara lebih global dalam menangani cabaran perniagaan yang semakin mencabar.

Menurut Madammu, usahawan wanita tempatan mempunyai kemampuan menghasilkan produk dan membina perniagaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, namun perlu berani meneroka pasaran baharu.

“Usahawan wanita tidak seharusnya mengehadkan impian mereka hanya untuk berjaya dalam negara. Kita juga mempunyai kemampuan untuk membina produk, jenama dan perniagaan yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

“Untuk sampai ke tahap itu, kita perlu berani melangkah keluar, menambah ilmu, memahami pasaran dan memanfaatkan platform yang telah disediakan untuk membantu usahawan berkembang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatangani pemetraian penajaan yang berlangsung di MATRADE semalam.

Hampir sedekad selepas penubuhannya, fokus pertumbuhan NOIR kini beralih kepada usaha menilai potensi pasaran, memperkukuh hubungan dengan pembeli, membina kerjasama strategik dan meningkatkan kesiapsiagaan eksport. Pelan hala tuju antarabangsa.

NOIR bagi tempoh 2026 hingga 2029 menetapkan tahun 2026 sebagai fasa asas untuk membina jaringan, mengukuhkan hubungan pasaran dan menilai potensi eksport sebelum peluasan ke Asia Tenggara pada 2027, Timur Tengah pada 2028 dan Eropah pada 2029.

Berdasarkan pelan pertumbuhan antarabangsa syarikat, NOIR turut menyasarkan penglibatan dengan lebih 50 buah negara, pembangunan lebih 100 hubungan perniagaan dan peluasan ke tiga rantau utama, dengan sasaran hasil eksport melebihi RM600 juta menjelang 2029.

Madammu berkata, pasaran global kini menilai sesebuah jenama bukan semata-mata melalui produknya, tetapi turut mengambil kira aspek standard, formulasi, pematuhan, kemampuan pengeluaran serta kebolehpercayaan syarikat sebagai rakan perniagaan.

“Bagi jenama Malaysia, langkah ke pasaran global perlu dibina secara sistematik. Kita perlu memahami pasaran, mendapatkan rakan yang tepat dan memastikan perniagaan benar-benar bersedia untuk berkembang dalam jangka panjang.”

Portfolio NOIR kini merangkumi rangkaian penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan diri dan suplemen, dengan pematuhan halal, formulasi yang teliti serta kualiti produk sebagai antara asas utama pembangunan jenamanya.

Dalam fasa seterusnya, syarikat memberi perhatian kepada potensi kerjasama bersama pengedar, rangkaian peruncitan, rakan niaga e-dagang, farmasi serta rakan pengilangan OEM dan ODM yang berpotensi menyokong pengembangan pasaran mengikut keperluan setiap negara.

Penajaan WiEX @ MIHAS 2026 menjadi sebahagian daripada usaha membina laluan pengembangan perniagaan yang lebih tersusun, daripada pendedahan pasaran dan penglibatan pembeli kepada pembentukan kerjasama perniagaan, pendaftaran pasaran dan seterusnya penjanaan hasil eksport.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading