Kebanyakan penunggang atau golongan peminat motosikal berkuasa tinggi, terutamanya jenama Harley Davidson di Malaysia biasanya individu dewasa yang mempunyai kerjaya yang stabil serta menjadi ahli kelab konvoi tempatan.

Ini kerana harga motosikal reka bentuk cruiser tradisional Amerika dan bunyi enjin V-Twin yang unik itu lebih mahal berbanding jenama lain. Malah pemilik Harley Davidson atau lebih dikenali sebagai Harley Owner Group (HOG) Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli dari pelbagai daerah dan negeri itu sering melakukan konvoi, dalam negeri atau luar negara bagi mengukuh ukhuwah sesama mereka.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan yang ke-69 tahun ini, HOG Malaysia akan menjayakan acara Community Members – Pahang Auto Show 2K26, pada 29 Ogos hingga 31 Ogos 2026, di Perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Acara selama tiga hari itu dianjurkan oleh Riuh Entertainment & Trading yang dipengerusikan oleh Nor Sabila dengan kerjasama Harley Davidson, Petaling Jaya serta Harley Davidson Malaysia.
Turut menyokong penganjuran tersebut adalah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Entertainment & Trading, Ady Hafize, objektif utama penganjuran Community Members – Pahang Auto Show 2K26, adalah untuk menghimpun komuniti Harley Davidson dan secara tak langsung membuka ruang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenama tersebut.
Sesiapa saja pemilik Harley Davidson yang nak sertai acara konvoi “Sunset Ride Merdeka” dialu-alukan, terbuka kepada penunggang Harley Davidson. Bagi yang berminat nak sertai bolehlah rujuk pada ketua kelab masing-masing.
“Setakat ini yang sudah setuju untuk sertai konvoi ke Kuantan adalah ahli HOG Malaysia, Ahli HOG PJ, Ahli HOG JB, Ahli HOG Pahang, Ahli Bikers Chef Malaysia, Ahli Kuantan Harley Owner, WMGS PHG, HD PHG, Neo Bruder MC dan Pahang Rider Harley Owner Temerloh.
“Acara yang akan berlangsung selama tiga hari itu bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang jarang diadakan, seperti test ride motor Harley Davidson.
“Kita tak nak rakyat pandang kalau Harley saja, ekzos bising. Sebab sistem enjinnya memang macam tu dan bukan diubah suai. Kita nak bagi pendedahan kepada orang ramai.

“Bila kita buat perhimpunan dan pameran macam ni serta test ride, jadi orang ramai boleh tahu pasal motor Harley. Pada mereka yang berminat pasal Harley tapi tak mampu miliki boleh test ride. Harap rebutlah peluang ini di event itu nanti,” katanya yang banyak menganjur acara-acara besar sebelum ini.
Motor Harga Kayangan
Tambahnya, seperti motosikal lain, Harley Davidson pun mampu dimiliki oleh sesiapa saja. Justeru itu, beliau harap peminat- peminat motor hadir untuk mengetahui lebih lanjut tentang Harley Davidson yang sering dianggap harga ‘kayangan’ itu.
Paling menarik kata Ady Hafize, pengunjung yang hadir ke acara tersebut dan membeli barangan (merchandise) yang dijual di booth jualan baju Community Members siri Merdeka berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang akan dibuat pada pukul 2 petang, 31 Ogos nanti.
“Bagi yang gemar kumpul merchandise Harley Davidson, jangan lepaskan peluang ini. Kalau anda beli waktu acara berlangsung, anda layak untuk sertai cabutan bertuah.
“Hadiah utama untuk pemenang cabutan bertuah adalah sebuah motosikal. Manakala lain-lain hadiah adalah barangan keluaran Harley Davidson,” katanya.
Aktiviti yang diadakan tidak hanya tertumpu kepada penggemar- penggemar motosikal berkuasa tinggi saja tapi ia juga terbuka kepada orang ramai tanpa mengira usia. Bagi yang berbakat dalam bidang nyanyian, anda boleh mencuba bakat dengan menyertai pertandingan karaoke yang akan dijuri oleh komposer tersohor Eddie Hamid yang juga dilantik sebagai Ikon Community Members.

Pertandingan karaoke akan bermula pada pukul 2 petang, 29 Ogos kerana akan ada saringan untuk memilih lima finalis yang akan beradu nasib pada 30 Ogos nanti. Menariknya, tiada bayaran dikenakan untuk menyertai pertandingan karaoke, sebaliknya peserta hanya perlu membawa minus one sendiri.
Lagu-lagu yang ditetapkan adalah lagu retro dari tahun 80-an hingga 90-an. Manakala peserta yang layak menyertai pertandingan ini adalah mereka yang berusia 17 hingga 30 tahun kerana finalis bertuah akan ditawarkan untuk menjadi artis rakaman di bawah label Nova Music dan Kijang Music.
Finalis pertandingan karaoke juga berpeluang untuk berduet dengan salah seorang daripada penyanyi iaitu Blank Gamma, Shafie Rio, Isa Gravity dan Tuah Azmi yang akan menjayakan Malam Ambang Merdeka.
Perhimpunan Community Members – Pahang Auto Show 2K26 juga tidak lupa untuk menghiburkan kanak-kanak. Pada hari pertama acara bermula, akan berlangsungnya pertandingan mewarna bagi kanak-kanak untuk usia 5 – 7 tahun dan 8 – 10 tahun.
Tiada bayaran dikenakan untuk menyertai pertandingan mewarna ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti yang bakal diadakan sepanjang tempoh Community Members – Pahang Auto Show 2K26, sila rujuk di TikTok: Community members.





Leave a Reply