Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkongsi pengalaman baginda menyambut kelahiran puteri sulung baginda, Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah yang diputerikan pada 21 Julai lalu.

Tengku Amir bertitah, pengalaman itu menyedarkan baginda mengenai betapa pentingnya masa untuk sebuah keluarga bersama khususnya pada fasa awal selepas kelahiran cahaya mata.
“Saya sedar daripada pengalaman sendiri betapa banyak masa diperlukan sebuah keluarga untuk bersama,” titah baginda ketika Program Dialog Diraja dan Sesi Rangkaian Perniagaan Nadi di Hyprground Pickleball, Seksyen 19 di sini pada Khamis.

Tempoh Paternity Leave
Tengku Amir turut menyentuh mengenai tempoh cuti bersalin dan cuti khas untuk bapa di Malaysia yang disifatkan masih belum mencukupi bagi memberi ruang kepada ibu bapa bersama selepas kelahiran cahaya mata.
Menurut baginda, peranan bapa juga penting dalam memberikan sokongan kepada isteri untuk melalui proses pemulihan selepas bersalin.
“Sebagai bapa apa yang kita boleh lakukan ialah menyokong isteri untuk pulih, kekal sihat dan mendapat pemakanan yang baik kerana mereka adalah sumber kehidupan kepada bayi,” titah baginda.

Pengalaman Berpantang
Baginda turut berkongsi pengalaman keluarga mengamalkan tradisi berpantang selepas kelahiran puteri pertama termasuk mendapatkan khidmat urutan serta penjagaan makanan dan pemakanan sepanjang tempoh berpantang.
Baginda turut mendedahkan pernah mengunjungi sebuah pusat berpantang ketika isteri baginda,Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz sedang sarat mengandung. Malah baginda terkejut melihat kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan khusus untuk penjagaan ibu dan bayi selepas bersalin.
“Saya melihat pusat penjagaan ibu dan anak selepas proses kelahiran amat menakjubkan. Ada yang menawarkan perkhidmatan lebih baik daripada hotel dengan perkhidmatan 24 jam dan bertaraf tinggi,” ujar baginda.
“Saya rasa pasaran ini sememangnya sedang berkembang,” titah baginda.
Tengku Amir bertitah, amalan berpantang dan penjagaan tradisional Asia Tenggara juga semakin mendapat perhatian masyarakat Barat.
Titah baginda, perkembangan media sosial turut menyebabkan kandungan berkaitan amalan berpantang tradisional dari Asia Tenggara semakin mudah mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
“Saya melihat orang Amerika dan Eropah mula mengikuti amalan berpantang dan kesejahteraan tradisional Asia Tenggara.
“Malah, ada wanita Indonesia yang pergi ke Amerika untuk menjalankan amalan berpantang bagi masyarakat Barat dan mereka sangat memuji amalan kita,” titah baginda.
Untuk rekod, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, selamat bernikah dengan pilihan hatinya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz, pada 2 Oktober 2025.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply