Sedekad melayari bahtera rumah tangga, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menerima ucapan tahniah sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-10 semalam.

Ucapan penuh takzim itu disampaikan sempena ulang tahun perkahwinan pasangan diraja berkenaan yang diraikan pada 31 Ogos 2026 menerusi laman sosial rasmi @selangorroyalofficial.

“Dengan segala hormat dan takzimnya, patik-patik sekalian merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat sempena Ulang Tahun Perkahwinan ke-10, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

“Patik-patik sekalian sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan Duli-Duli Tuanku serta sentiasa berada dalam perlindungan ALLAH Subhanahu Wata’ala, bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kemuliaan dan kedaulatan.

Ulang tahun perkahwinan ke-10 Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin pada tahun ini turut berlangsung bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Momen sedekad bersama tentunya menjadi satu detik bermakna buat pasangan diraja itu, selain mengundang doa rakyat jelata agar kebahagiaan serta kesejahteraan mereka terus berkekalan.

Semoga Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin sentiasa dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan kesejahteraan serta terus berada dalam naungan ALLAH SWT.

Untuk info, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijabkabul dengan pembaca berita RTM, Norashikin Abdul Rahman di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, 31 Ogos.

Ini merupakan pernikahan ketiga Sultan Selangor selepas mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada 1968 tetapi bercerai pada 1986 dan kemudian berkahwin dengan Puan Nur Lisa Abdullah (rakyat Amerika) tetapi berpisah pada 1997.

Baginda mempunyai dua puteri dan seorang putera iaitu Tengku Zerafina, Tengku Zatashah dan Tengku Amir (kini Raja Muda Selangor).

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading