Bapa kepada Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, merayu agar semua pihak membantu menegakkan keadilan buat anaknya yang maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini.
Mohd. Khairool Faisal Khyar, 42, berkata, pihak keluarga amat menghargai sokongan serta bantuan orang ramai yang hadir dan membantu melancarkan urusan pengebumian anaknya.

“Saya ayah kepada Irene Sofiya. Kami berterima kasih kepada semua yang datang dan kami harap dapat sokongan semua untuk tegakkan keadilan untuk anak saya, arwah anak saya.
“Itu sahaja yang kami harap,” katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Parit Arshad, Yong Peng .

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa Irene Sofiya ketika berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja kira-kira pukul 6 petang semalam.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya adalah kira-kira dua minggu lalu ketika Irene Sofiya pulang bercuti dan ketika itu, anaknya dilihat seperti biasa serta ceria menjalani kehidupan sebagai pelajar.

“Tak ada (perubahan), dia macam biasa saja, seronok belajar. Yang lain-lain tak ada tunjuk apa-apa,”katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Khairool turut meminta orang ramai menghentikan penyebaran maklumat atau spekulasi yang tidak sepatutnya berhubung kematian anaknya.
“Semuanya pun dalam siasatan polis dan kita serahkan kepada pihak yang berkuasa,”katanya.
“Pemeriksaan Menyeluruh”- Menteri Pendidikan
Sementara itu, semua pihak di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) akan diperiksa secara menyeluruh dalam kes membabitkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Yong Peng kelmarin.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pemeriksaan menyeluruh akan dilakukan termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan dan aspek kawalan keselamatan serta rondaan di sekolah.

“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
“KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis.
“Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook,
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
“Berikan keluarga ruang dan hormati proses siasatan yang sedang berjalan. Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng.
Mangsa berusia 16 tahun ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang.
Sumber: https://www.kosmo.com.my/ &https://www.hmetro.com.my/
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply