Black Hanifah kembali mengubati kerinduan peminat menerusi pertaruhan karya terbaharunya berjudul Terlerai Sudah. Lagu terbitan Nova Music Malaysia ini mempamerkan kematangan vokal dan penceritaan emosi yang mendalam, ciptaan komposer Ba Ermy, Mas Dewangga, dan Jova Devito, manakala liriknya mendapat sentuhan bersama Datuk Arisz Ab Rahman JP.

Karya baharu ini membawa kisah penuh duka tentang sebuah hubungan yang akhirnya terpaksa dilepaskan walaupun masih bersisa rasa sayang. Black mendedahkan bahawa penceritaan lagu ini sangat berhubung rapat dengan realiti kehidupan masyarakat.

“Terlerai Sudah membawa cerita tentang sebuah hubungan yang akhirnya terpaksa dilepaskan. Ia lebih kepada perasaan apabila kita sedar sesuatu hubungan itu sudah sampai ke penghujungnya, walaupun masih ada rasa sayang dan kenangan yang tersimpan.
“Lagu ini sangat dekat dengan emosi dan pengalaman manusia, sebab saya percaya ramai yang pernah melalui situasi terpaksa merelakan seseorang pergi demi kebaikan masing-masing,” katanya.

Bercakap mengenai proses pembikinan lagu, Black menyifatkan kerjasama bersama barisan komposer dan penulis lirik sebagai satu pengalaman yang amat menyeronokkan. Menurutnya, semua pihak memberikan perspektif yang kukuh bagi memastikan emosi lagu benar-benar sampai kepada pendengar.
“Bagi saya, proses menghasilkan lagu ini sangat menyeronokkan kerana setiap orang yang terlibat memberikan perspektif dan sentuhan masing-masing. Komposer dan penulis lirik berjaya menghasilkan sebuah lagu yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi mempunyai emosi yang kuat.
“Saya pula cuba membawa cerita dalam lagu ini melalui cara penyampaian saya sendiri. Jadi dari proses awal sehinggalah rakaman, kami banyak berbincang tentang emosi dan karakter lagu supaya apa yang disampaikan itu benar-benar sampai kepada pendengar,” jelasnya.

Meskipun sesi rakaman vokal hanya mengambil masa sekitar dua jam selepas susunan muzik disiapkan, keseluruhan proses pembikinan lagu ini menuntut masa selama dua minggu. Langkah ini diambil bagi memastikan aspek teknikal seperti mixing dan mastering berada pada tahap kepuasan tertinggi sebelum dilancarkan.
Bukan sahaja fokus pada audio, pihak produksi turut meletakkan tumpuan penuh terhadap pembikinan video muzik (MV) Terlerai Sudah yang kini telah pun siap sepenuhnya.
“Untuk MV, ia memang menjadi salah satu perkara penting dalam perjalanan Terlerai Sudah. Kami mahu visual yang dihasilkan selari dengan cerita dan emosi lagu, bukan sekadar menghasilkan MV untuk melengkapkan sebuah single.
“Jadi sekarang kita sedang memastikan semuanya berada pada tahap yang terbaik dan kami sudah pun menyiapkan MV Terlerai Sudah. Saya harap apabila MV itu dilancarkan nanti, pendengar bukan sahaja dapat menikmati lagunya tetapi dapat merasai cerita yang cuba disampaikan melalui visual tersebut,” tambah Black.
Fenomena Hijab Rindu Bakal Berulang?
Ekoran kejayaan cemerlang lagu Hijab Rindu sebelum ini, Black tidak menafikan wujud sedikit tekanan untuk memastikan karya terbaharunya ini turut mencetuskan impak tersendiri. Bagaimanapun, dia memilih untuk melihatnya dari sudut positif dan menganggap perkara tersebut sebagai satu cabaran.

“Sudah tentu ada sedikit tekanan, tetapi saya lebih melihatnya sebagai satu tanggungjawab dan cabaran untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Saya sangat bersyukur dengan penerimaan terhadap lagu Hijab Rindu.
“Bila sesebuah lagu mendapat sambutan yang luar biasa, kita tidak boleh terlalu selesa dan mengharapkan lagu seterusnya akan mengulangi perkara yang sama. Setiap lagu mempunyai cerita dan perjalanan masing-masing.
“Jadi untuk Terlerai Sudah, saya cuba fokus kepada lagu ini dan memberikan yang terbaik tanpa terlalu memikirkan tentang perbandingan dengan lagu sebelum ini. Kalau pendengar boleh menerima dan menghayati lagu ini, itu sudah menjadi satu kejayaan buat saya,” ujarnya.
Menyentuh tentang impian melangkah ke pentas anugerah berprestij seperti ‘Anugerah Juara Lagu’ (AJL), penyanyi vokal mantap ini menyuarakan hasrat agar Terlerai Sudah diterima baik oleh seluruh peminat muzik tanah air terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh.
“Sebagai seorang penyanyi, sudah tentu saya mempunyai impian untuk membawa lagu ke pentas besar seperti AJL. Itu adalah antara pentas yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia dan tentunya menjadi satu pencapaian yang sangat membanggakan.
“Untuk Terlerai Sudah, saya berharap lagu ini mendapat tempat di hati pendengar terlebih dahulu. Kalau rezeki lagu ini sampai ke AJL atau mana-mana pentas besar, saya akan sambut peluang itu dengan sebaik mungkin.

“Bagi saya, yang paling penting sekarang ialah terus menghasilkan muzik yang berkualiti dan memberikan persembahan yang terbaik. Selebihnya kita serahkan kepada rezeki dan penerimaan pendengar,” katanya mengakhiri bicara.
Single Terlerai Sudah terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di platform penstriman muzik digital utama pada 16hb. Oktober ’26 dan muzik video rasmi lagu tersebut boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari yang sama jam 3 petang di pautan ini https://youtu.be/ueDCPesGpCk?si=UaCf9hbbua91RN8r
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply