Perjalanan pengasas jenama pakaian aktif NADA, Nurin Afiqah Zulkifli, membuktikan membina perniagaan bukan sekadar soal mengembangkan jenama semata-mata, tetapi keberanian untuk bangkit ketika diuji juga sebagai satu pelajaran penting dalam membina jenama sendiri.

Mesra disapa Nurin, ibu kepada dua cahayamata ini membina jenamanya dengan langkah kecil hanya bermodalkan RM1,000. Ketika itu, Nurin mengajar Zumba dan melihat terdapat ruang dan peluang untuk menceburkan diri dalam bisnes yang dekat dengan dirinya.
“Saya bermula dengan RM1,000 dan ketika itu saya sendiri tidak tahu sejauh mana perjalanan ini akan membawa saya. Tetapi saya percaya, kalau kita tidak berani bermula, kita tidak akan pernah tahu apa yang kita mampu capai,” kata Nurin.
“NADA ditubuhkan pada Februari 2020 atas kecintaan saya terhadap dunia perniagaan dan fesyen Muslimah. Sebelum ini saya pernah jual makanan dan jadi jurulatih zumba“-Nurin Afiqah

Nurin merupakan graduan lulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tekad untuk menjadikan NADA sebuah jenama fesyen Muslimah bertaraf global.
Membina perniagaan sememangnya tidak mudah. Syarikat yang diusahakan pernah mengalami detik sukar pada tahun 2024. Menurut Nurin, dia berdepan detik paling sukar apabila perniagaannya mengalami kerugian besar, stok tidak terjual dan hutang hampir mencecah RM1 juta terpaksa ditanggung oleh syarikatnya.
Ketika ramai mula menjauhkan diri, Nurin hanya mempunyai suami dan adiknya untuk bersama-sama mengharungi kesukaran tersebut. Dalam keadaan yang serba tidak menentu, dia sedar bahawa meratapi nasib tidak akan mengubah keadaan.
“Tinggallah saya, suami dan adik saya. Tetapi saya bangkit semula dengan prinsip jangan menangis lama-lama,” ujarnya.

Hasil kerja keras, minat tersebut berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar iaitu sebuah komuniti, sebuah jenama dan kini, kedai fizikal pertama NADA di KL East Mall.
Berkeluasan 1,044 kaki persegi, ruang pertama NADA ini menjadi satu lagi tanda aras dalam perjalanan Nurin membina jenama yang dekat dengan kehidupan wanita aktif masa kini.
Namun bagi Nurin, NADA tidak pernah sekadar tentang pakaian.Ia tentang perasaan apabila seorang wanita akhirnya berani kembali ke gim selepas lama berhenti.
Memberi keyakinan untuk mencuba kelas yang selama ini hanya dilihat dari jauh. Tentang memilih untuk menjaga diri, bergerak mengikut kemampuan sendiri dan meraikan setiap kemajuan, walaupun kecil. Itulah semangat di sebalik tagline NADA iaitu jenama baju yang diasaskan oleh Nurin.

Baru-baru ini, NADA membawa lima pasukan ke HYROX Bangkok, dengan Nurin sendiri turut menyertai cabaran tersebut. Pengalaman itu memberi perspektif yang lebih dekat tentang keperluan wanita ketika bersukan dan menjadi sebahagian daripada usaha NADA untuk menghasilkan activewear yang mengutamakan fungsi, keselesaan dan keyakinan.

Daripada studio Zumba kepada dunia keusahawanan, perjalanan Nurin menjadi gambaran tentang bagaimana sesuatu yang bermula sebagai minat boleh berubah menjadi sebuah gaya hidup dan akhirnya menjadi sebuah jenama yang mempunyai komuniti sendiri.
Kini, dengan kedai pertamanya di KL East Mall, NADA membuka lebih daripada sekadar pintu untuk pelanggan malah sebagai ruang untuk wanita datang, bergerak, mencuba dan menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.
Kerana pada akhirnya, progress tidak semestinya tentang menjadi yang paling pantas atau paling kuat. Kadangkala, ia hanya tentang memilih untuk hadir.
Majlis pembukaan rasmi turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NADA, Fairuz Baharuddin, Centre Manager KL East Mall, Ahmad Zulhelmi dan Senior Manager, Leasing, Jazel Tay.
Dapatkan informasi gaya hidup dan hiburan di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply