Hebat betul penangan pasangan ini! Lebih 10,000 tetamu hadir memeriahkan majlis resepsi pasangan pengantin baharu, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pelakon, Bella Astillah yang berlangsung di Muar, Johor pada Ahad.

Majlis yang bertemakan kenduri rakyat itu bukan sahaja menghimpunkan penduduk setempat, malah turut menerima kehadiran tetamu dari pelbagai lokasi termasuk Singapura, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Kehadiran ribuan tetamu itu sekali gus mencerminkan sokongan serta doa orang ramai buat pasangan berkenaan yang kini memulakan kehidupan baharu sebagai suami isteri.

Ada yang sanggup beratur panjang sejak awal pagi bagi memastikan mereka berpeluang menyertai majlis yang berlangsung di Yong Sheng Banquet Hall, Jalan Bakri, Muar.

Menerusi perkongsian di platform Threads, orang ramai mula beratur seawal jam 8 pagi, meskipun acara berkenaan dijadualkan bermula pada jam 2 petang.

Kenduri Rakyat yang berlangsung dari jam 2 hingga 6 petang itu dianjurkan bagi membolehkan Syed Saddiq dan Bella berkongsi kegembiraan perkahwinan mereka dengan masyarakat, khususnya penduduk Muar yang diwakili Ahli Parlimen berkenaan.

Syed Saddiq sebelum ini menjelaskan, konsep kenduri itu bertujuan mendekatkan sambutan perkahwinan mereka dengan rakyat, selain menghidupkan tradisi rewang yang sinonim dengan budaya masyarakat Melayu.

Persalinan tradisional Johor rekaan Rizman Ruzaini menjadi pilihan mempelai meraikan kenduri rakyat di Muar hari ini.

Menurut Instagram Rizman Ruzaini, Bella Astillah tampil anggun dalam kurung Rizman Ruzaini Bridal Couture rona biru langit, dihiasi perincian sulam tebuk berwarna perak dan keemasan, dengan potongan pesak gantung Johor yang menyerlahkan keindahan busana tradisional Melayu.

Syed Saddiq pula segak menggayakan Baju Melayu Johor Teluk Belanga, melengkapkan penampilan mereka sebagai pasangan raja sehari. Solekan Bella Astillah pula mendapat sentuhan Intan Nadia Syazwani bt Mohamed Nordin

Lebih bermakna, majlis berkenaan turut diserikan dengan penyediaan makanan dan minuman untuk tetamu, selain pengagihan barangan keperluan harian sebagai buah tangan kepada mereka yang hadir.

Penganjuran itu turut mendapat sokongan penaja dengan sumbangan bernilai lebih RM500,000 dalam bentuk makanan, minuman, beras, santan dan barangan keperluan, termasuk komputer riba untuk diagihkan sempena majlis berkenaan.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan dalam majlis pernikahan di Aras 118, Menara Merdeka 118, di sini, pada 10 Oktober lalu.

Pasangan itu disatukan dengan sekali lafaz oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kira-kira jam 10.40 pagi, dengan Bella menerima mas kahwin RM500.

Majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana dengan tema putih dan sentuhan Islamik itu dihadiri ahli keluarga, saudara-mara serta rakan terdekat.

Pasangan berkenaan kemudian diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, pada 18 Oktober lalu, yang menghimpunkan kira-kira 3,000 tetamu.

Selepas Muar, sambutan perkahwinan mereka akan diteruskan menerusi satu lagi Kenduri Rakyat di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober ini, iaitu negeri kelahiran Bella.

Sumber: https://www.bharian.com.my/ & https://gempak.com/

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading