Penyanyi Ernie Zakri memperkenalkan album terbaharunya, ATMA, menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya. Membawa maksud “jiwa”.

Album ini meneroka pelbagai sisi emosi manusia, daripada cinta dan kerinduan hingga luka, kemarahan sertakekuatan untuk menerima dan bangkit semula.


Bagi Ernie, pemilihan judul tersebut mencerminkan perkara yang membentuk seseorang, termasuk perasaan dan pengalaman yang tidak selalu terlihat oleh orang lain.

“Untuk saya, jiwa itu bukan sesuatu yang mudah diterangkan. Ia tentang apa yang kita rasa, apa yang kita simpan, apa yang pernah
membentuk kita, semua benda yang mungkin orang tak nampak bila mereka melihat kita dari luar,” kata Ernie.


Pendekatan itu diterjemahkan melalui penulisan, susunan muzik dan visual yang saling melengkapi. ATMA memberi ruang kepada sisi manusia yang rapuh, keliru dan masih mencari jawapan, di samping meraikan cinta serta pertumbuhan.

Berbanding AURA yang memperkenalkan perjalanan muzik yang lebih luas, ATMA mengambil pendekatan lebih padat dan berkonsep. Pemilihan tujuh trek merupakan keputusan kreatif untuk memastikan setiap karya mempunyai peranan yang jelas dalam keseluruhan album.

“Intro membuka dunia album ini, lima lagu penuh membawa isi dan emosi utamanya, manakala ‘Finito’ menjadi penutup kepada perjalanan tersebut. Jadi, bagi saya, yang lebih penting ialah bagaimana setiap trek berfungsi dalam keseluruhan naratif album,” jelasnya.

Susunan trek turut membina kesinambungan cerita, membawa pendengar melalui perubahan suasana daripada tegas dan gelap kepada lebih lembut serta terbuka kepada penerimaan.


Dari sudut persembahan, ATMA menuntut pendekatan vokal dan penghayatan yang berbeza bagi setiap lagu. Cabaran buat Ernie ialah menyampaikan perubahan emosi tersebut dengan tepat dan jujur, agar
setiap karya mempunyai karakter tersendiri.

Walaupun disampaikan melalui suara dan interpretasinya, penceritaan ATMA tidak merujuk secara literal kepada kehidupan peribadi Ernie. Album ini terbentuk daripada gabungan pengalaman, pemerhatian,
empati dan imaginasi. Temanya juga melangkaui soal pengkhianatan, merangkumi kesunyian, ketakutan dan pergulatan dengan diri sendiri.

“Saya harap bila orang masuk ke dunia ATMA, mereka bukan cuma
mendengar suara saya, tapi mereka dapat rasa sesuatu yang dekat dengan diri mereka sendiri,” katanya.

Perjalanan menuju album ini diperkenalkan menerusi “Sejambak Bunga”, yang menampilkan sisi Ernie yang lebih matang dan berani. Pendekatan muzik serta visualnya yang lebih gelap dan intim menjadi
pengenalan kepada arah kreatif yang kini diperluaskan melalui ATMA.

Sebelum album dilancarkan, Ernie dan pasukan turut mengadakan Intimate Pre-Album Listening Party pada 15 Oktober 2026, memberi peluang kepada peminat untuk menikmati pendengaran awal. Siri imej
konsep yang dikongsikan di media sosialnya pula memberikan gambaran tentang identiti visual album ini.

Selepas pelancaran, Ernie berharap ATMA dapat terus dikembangkan melalui persembahan langsung, kandungan visual dan pengalaman lain yang mendekatkan karya tersebut dengan pendengar.

“Selepas pelancaran album, saya nak ATMA terus hidup dalam cara yang lebih dekat dengan pendengar. Saya harap ATMA tidak berhenti sebagai sebuah album sahaja, tapi terus berkembang sebagai satu pengalaman yang orang boleh rasa, faham dan kaitkan dengan diri mereka sendiri,” katanya.

ATMA kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama.

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading