Selepas lebih dua dekad menyepi daripada industri seni, Maman Teacher’s Pet kembali mencuri perhatian menerusi single terbaharu berjudul “Menjelmalah Aku” yang menjadi simbolik kepada kemunculan semula beliau dalam dunia muzik.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu, “Menjelmalah Aku” hadir sebagai pembuka kepada satu perjalanan baharu Teacher’s Pet selepas sekian lama membawa haluan masingmasing, selain menjadi pemangkin menuju showcase “Teacher’s Pet: Back To School” yang bakal berlangsung pada 27 Disember depan di Dewan Besar Universiti Putra
Malaysia di Serdang, Selangor.

Perjalanan comeback ini sebenarnya bukan sesuatu yang dirancang dalam tempoh singkat. Teacher’s Pet pernah menghasilkan lagu ini ketika era pandemik COVID-19, namun kemudiannya memilih untuk berehat panjang daripada dunia seni demi memberi tumpuan kepada keluarga.
Lebih 20 tahun berlalu, kehidupan membawa satu ujian besar apabila vokalis Teacher’s Pet iaitu Maman, kehilangan anak lelakinya dalam satu kemalangan tragik, hanya kira-kira tiga bulan sebelum anak tersebut dijadualkan mendirikan rumah tangga.
Pengorbanan dan keputusan Maman untuk berada di sisi anak selama bertahun-tahun, termasuk menetap di Singapura bagi membesarkan dan menjaga keluarga, menjadi antara perjalanan peribadi yang akhirnya membawa Teacher’s Pet kembali melihat semula
dunia muzik.
Kini, selepas melalui pelbagai fasa kehidupan, “Menjelmalah Aku” menjadi titik mula untuk mereka menjelma kembali sebagai Teacher’s Pet yang pernah dikenali peminat sekitar era 1990-an dan 2000-an.

“Lagu ini sebenarnya sudah ada sejak zaman COVID-19 lagi. Cuma perjalanan hidup membuatkan kami mengambil masa yang sangat panjang untuk kembali. Lebih 20 tahun kami menyepi kerana keluarga, anak-anak dan kehidupan.
“Banyak perkara berlaku sepanjang tempoh itu. Ada pengorbanan yang kita buat untuk anak dan keluarga, dan ada juga kehilangan yang sangat besar. Jadi apabila kami kembali dengan lagu ini, ia bukan sekadar comeback. Ia membawa cerita dan perjalanan
hidup kami,” kata Maman.
BERMULA SEMULA DENGAN “BACK TO SCHOOL”
Mengangkat tema Back To School, penonton bakal dibawa kembali mengimbau nostalgia
menerusi barisan lagu yang pernah menjadi identiti kumpulan ini, termasuk Warisan
Wanita Terakhir, Malas dan Dakapkan Aku Ke Syurga.
Dengan kapasiti Dewan Besar UPM yang mampu memuatkan kira-kira 2,800 penonton, showcase ini dijangka menjadi satu pertemuan istimewa antara Teacher’s Pet dan para peminat yang telah menanti kemunculan mereka sekian lama.
Tidak ketinggalan, lagu “Warisan Wanita Terakhir” turut bakal diberi perhatian menerusi satu segmen istimewa buat peminat, termasuk peluang untuk membawa pulang gitar sebagai hadiah utama.

Lebih istimewa, barisan anggota Teacher’s Pet untuk kemunculan kali ini masih mengekalkan line-up asal, iaitu Maman, Addy & Zul selain kehadiran pemain drum yang baru iaitu Yuri yang turut bersama dalam barisan kumpulan muzik mereka.
Showcase ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi peluang untuk Teacher’s Pet bertemu semula dengan peminat yang pernah membesar bersama lagu-lagu mereka, di samping memperkenalkan kembali identiti muzik kumpulan ini kepada generasi baru dan
lama.
Kategori bermula dari RM 88.00 (General Admission), RM 128.00 (Silver), RM 188.00 (Gold) dan RM 228.00 (VIP). Sehubungan dengan itu, penjualan tiket boleh dibeli bermula 28 Oktober 2026 pukul 12 tengahari di platform www.iLassoTickets.com/ TeachersPetBackToSchool.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylmediahub.com




Leave a Reply