Selepas mencetuskan fenomena di Indonesia, kumpulan for Revenge bakal meraikan sambutan ulang tahun ke-20 menerusi konsert tunggal ‘Titik Sadrah’ yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 November ini.

Lebih menarik, kumpulan itu turut menampilkan kolaborasi bersama barisan artis undangan untuk menyemarakkan lagi pentas iaitu Cynantia Pratita, Dul Jaelani, Fiersa Besari, Rony Parulian, Sekumpulan Orang Gila dan Tepe.

Kehadiran mereka juga bakal memberikan warna tersendiri kepada persembahan for Revenge di Kuala Lumpur dan menjadikan malam berkenaan sebagai pertemuan pelbagai cerita, muzik dan salur emosi.
Konsert anjuran Neptunes Presents dengan kerjasama Antara Suara dan Sony Music itu menjadi sebahagian daripada siri jelajah antarabangsa mereka di mana, Kuala Lumpur menjadi antara persinggahan penting dalam perjalanan dua dekad for Revenge yang bermula di Bandung, Indonesia.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Titik Sadrah akan membawa penonton melalui perjalanan emosi yang mendalam di mana setiap individu dapat melepaskan perasaan terpendam yang menjadi sebahagian daripada perjalanan seni for Revenge dan peminatnya sepanjang tempoh 20 tahun.
Menurut jurucakap penganjur dari Neptunes Presents, Muhamad Hadi Johari, bermula daripada kancah muzik Bandung, for Revenge membina perjalanan seni mereka menerusi karya-karya yang mendapat tempat di hati peminatnya.
“Daripada Fireworks dan Second Chance, hinggalah Perayaan Patah Hati Babak 1 dan Babak 2, setiap karya membawa kisah tersendiri dan mencerminkan perkembangan muzik kumpulan terbabit.
“Kini, perjalanan muzik mereka diteruskan di Kuala Lumpur untuk bertemu secara langsung dengan peminat di Malaysia yang selama ini mengikuti karya mereka merentasi sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Muhamad Hadi lagi, rangkaian lagu for Revenge bukan sekadar muzik tetapi lebih dari itu buat penggemarnya.
“Ada lagu yang hadir ketika seseorang jatuh cinta, ada yang menjadi teman ketika melalui perpisahan, manakala, sebahagiannya pula menemani proses untuk menerima dan melepaskan sesuatu yang sudah berlalu.
“Pentas Titik Sadrah di Kuala Lumpur memberi peluang kepada semua cerita itu untuk bertemu dalam satu ruang.
“Peminat juga diajak berkongsi lagu for Revenge yang paling dekat dengan mereka serta cerita di sebaliknya. Cerita dan foto daripada peminat akan menjadi sebahagian daripada pengalaman Titik Sadrah di Kuala Lumpur,” katanya.


Kumpulan yang ditubuhkan sejak 2006 di Bandung, Indonesia ini dibarisi oleh Boniex Noer (vokal), Arief Ismail (gitar), Izha Muhammad (bass) dan Archims Pribadi (dram).
Kejayaan album Perayaan Patah Hati – Babak 1 (2022) juga menjadi bukti kematangan for Revenge dalam mengolah emosi menjadi karya yang universal.
Melalui pentas Titik Sadrah, for Revenge mahu mengajak peminat untuk meraikan perjalanan terbabit termasuk perkara yang pernah menyakitkan, yang sudah selesai dan ruang baharu yang menanti selepasnya.
Buat peminat di Malaysia yang sudah lama menantikan peluang untuk menyaksikan kumpulan for Revenge secara langsung, Titik Sadrah Kuala Lumpur bakal menjadi ruang untuk menyanyikan lagu-lagu hits yang pernah menemani perjalanan hidup bersama ribuan penonton.
Maklumat lanjut dan jualan tiket konsert ini boleh didapati di laman rasmi forrevenge.id.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply