Memperkukuh komitmen dalam mengetengahkan karya tempatan yang mengangkat realiti kehidupan dan isu masyarakat, iQIYI tampil dengan drama Original terbaharu, Dua Nyawa, yang dibintangi Zarif Ghazzi, Jazmy Juma dan Puteri Balqis.

Hasil penulisan Liza Nur dan arahan Riza Baharudin, drama 12 episod ini membawa tema “Bila Hidup Paksa Kita Dewasa”, mengangkat kisah cinta, tanggungjawab dan pengorbanan apabila satu keputusan mampu mengubah seluruh masa depan.

Dua Nyawa mengisahkan Farhana (Puteri Balqis), seorang gadis muda yang kehidupannya berubah selepas hamil hasil hubungan dengan Zafran (Jazmy Juma).

Ketika berdepan tekanan keluarga dan masa depan yang tidak menentu, Fawwaz (Zarif Ghazzi), yang telah lama menyimpan perasaan terhadapnya, memilih untuk terus berada di sisinya walaupun terpaksa melakukan pengorbanan besar.


Di sebalik konflik percintaan, drama ini turut mengetengahkan realiti kehamilan pada usia muda, tekanan masyarakat serta tanggungjawab terhadap setiap pilihan yang dibuat.

Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, berkata Dua Nyawa mencerminkan usaha berterusan iQIYI dalam menghasilkan karya tempatan yang dekat dengan masyarakat serta membawa mesej dan pengajaran yang relevan.

“Menerusi Dua Nyawa, kami ingin menyampaikan mesej yang jelas tentang pentingnya mencegah kehamilan pada usia remaja dan membuat pilihan yang bertanggungjawab. Kami mahu golongan
muda memahami bahawa menjadi ibu bapa ialah tanggungjawab sepanjang hayat yang memerlukan kesediaan emosi dan kewangan.”


“Menerusi Dua Nyawa, kami mengangkat naratif yang dekat dengan masyarakat, khususnya tentang tekanan sosial, penerimaan keluarga, pengorbanan dan kekuatan seseorang untuk bangkit selepas melalui pengalaman yang mengubah kehidupannya.


“Kami percaya kekuatan sesebuah drama terletak pada gabungan penceritaan, pengarahan dan lakonan. Dengan naskhah tulisan Liza Nur, arahan Riza Baharudin serta barisan pelakon berbakat, kami berharap kisah ini dapat disampaikan dengan penuh emosi dan memberi kesan kepada penonton.

“Harapan kami agar Dua Nyawa dapat mencetuskan kesedaran dan perbincangan, khususnya dalam kalangan golongan muda, tentang tanggungjawab serta implikasi daripada setiap keputusan yang
dibuat,” ujar Dinesh.

Menurut Liza, cabaran menghasilkan Dua Nyawa turut terletak pada usaha memahami pemikiran dan pergolakan emosi ketiga-tiga watak remaja yang mempunyai konflik tersendiri.

“Ketiga-tiga watak berat dan diolah dengan graf emosi tersendiri. Pada usia sekarang, pastinya ia satu cabaran untuk saya kerana perlu masuk semula ke dunia remaja yang sudah lama saya tinggalkan dan mengolah cerita mengikut cara pemikiran Farhana, Fawwaz dan Zafran,” tambahnya.

Gabungan penulisan Liza dan sentuhan pengarahan Riza menjadi antara kekuatan kreatif Dua Nyawa, yang turut menampilkan tiga pelakon muda menerusi watak dengan konflik dan perjalanan emosi
berbeza.


Puteri Balqis menggalas watak Farhana, seorang gadis muda yang diuji dengan keputusan yang mengubah kehidupannya. Jazmy Juma pula tampil sebagai Zafran, karakter yang lebih kompleks berbanding imej hero romantik yang sering dikaitkan dengannya, manakala Zarif Ghazzi membawakan watak Fawwaz, seorang pemuda penyayang yang sanggup berkorban demi insan dicintai.


Pertembungan ketiga-tiga watak ini bukan sekadar mempersoalkan siapa yang layak memiliki cinta, tetapi siapa yang benar-benar bersedia memikul tanggungjawab apabila kehidupan tidak berjalan
seperti dirancang.

Terbitan Global Station Sdn. Bhd., drama 12 episod Dua Nyawa bakal menemui penonton bermula 13 November 2026, eksklusif di iQIYI.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending