Siapa tidak mengenali Raihan, kumpulan nasyid legenda yang pernah mengharumkan nama Malaysia menerusi persembahan di pentas berprestij Royal Albert Hall, London pada 2008?

Selepas sekian lama mewarnai industri seni tanah air dengan karya-karya yang sarat mesej ketuhanan dan kemanusiaan, kumpulan yang cukup sinonim dengan irama nasyid itu kini membuka lembaran baharu menerusi penjenamaan semula sebagai ANA The Rayhan.
Kebangkitan mereka dalam era baharu itu diterjemahkan menerusi konsert sulung, The Rayhan Syukur 26, yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu.
Tepat jam 8.50 malam, tiga anggota kumpulan berkenaan iaitu Nazrey Johani, Amran Ibrahim dan Zulfadhli Mustaza atau lebih mesra disapa Afad, muncul di pentas sekali gus mengundang sorakan penonton yang tidak sabar menyaksikan kemunculan semula idola mereka.
Tirai persembahan dibuka dengan tayangan video montaj pengenalan yang diiringi alunan muzik pembukaan memukau sebelum mereka menghangatkan suasana menerusi dua lagu malar segar, Assolatuwassalam dan Syukur.
Ujian Kesihatan Nazrey
Namun, di sebalik kemeriahan malam berkenaan, terselit kisah pengorbanan apabila vokalis utama, Nazrey, secara terbuka berkongsi mengenai masalah kesihatan yang dialaminya menjelang konsert.
Mengakui berdepan sakit tekak sehingga hampir kehilangan suara, Nazrey bagaimanapun tidak menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk menarik diri, sebaliknya tetap gagah meneruskan persembahan demi memenuhi harapan peminat yang hadir.



Konsert kemudian diserikan dengan deretan lagu popular yang membawa penonton kembali mengimbau zaman kegemilangan Raihan dalam industri nasyid tanah air.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Bersatu, Damba Cintamu, Peristiwa Subuh, God Is The Light, Thank You Allah dan Bonds Of Love, sekali gus membangkitkan nostalgia dalam kalangan peminat setia.

Antara momen lain yang bakal menjadi kenang-kenangan buat 30 kanak-kanak dari Genius Aulad ialah apabila mereka berpeluang bernasyid bersama-sama kumpulan popular tersebut melalui lagu Doa Makan, Medley Sifat 20, 25 Rasul dan 10 Malaikat.
Menurut Afad, pendekatan tersebut menjadi elemen utama untuk mendidik generasi pelapis ini untuk menghargai nasyid dan mengenal Islam melaluyi cara yang lebih interaktif.

Momen paling menyentuh perasaan tercipta apabila sebuah video montaj khas ditayangkan bagi mengenang jasa Allahyarham Nordin Jaafar dan Allahyarham Azahari Ahmad, dua figura penting yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan serta kejayaan Raihan.
Penghormatan itu bukan sekadar mengimbau kenangan, malah mengingatkan penonton bahawa kejayaan sesebuah kumpulan turut dibina atas pengorbanan dan sumbangan insan-insan di belakang tabir.
“Penghargaan buat arwah keluarga. Kami terbina dengan sahabat terdahulu. Malam ini kami ambil kesempatan meraikan kehadiran tetamu istimewa di hati kami.
“Sumbangan arwah Nordin dan Azahari bukan sebagai rakan sekumpulan tetapi sebagai keluarga.
“Walau tak berada di sini, karya mereka masih lagi dimainkan,” kata Afad.
Sepanjang konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu, penonton turut dihiburkan dengan rangkaian lagu popular lain seperti Allahu, Junjungan Mulia dan Senyum, selain berpeluang mendengar single terbaharu mereka berjudul Assalamualaikum.
Keistimewaan konsert itu turut terserlah menerusi kemunculan penyanyi legenda, Herman Tino, yang berkongsi pentas bersama ANA The Rayhan menerusi lagu Aku Milikmu sebelum menghiburkan penonton dengan persembahan solo Di Sini Saja.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran penyanyi nasyid terkenal dari seberang, Opick, turut menambah kemeriahan malam berkenaan.
Bergandingan bersama ANA The Rayhan menerusi lagu Demi Masa, Opick kemudian menghangatkan pentas dengan dua persembahan solo, Rapuh dan Dealova yang menerima sambutan hangat penonton.
Akhirnya, konsert yang sarat dengan nostalgia, penghargaan dan mesej kerohanian itu melabuhkan tirainya menerusi rangkaian lagu Sesungguhnya, I’Tiraf, Rakan Selawat, Iman Mutiara dan Puji-Pujian.
Lebih daripada sekadar sebuah konsert, The Rayhan Syukur 26 menjadi bukti bahawa perjalanan sebuah kumpulan legenda tidak terhenti ditelan masa.
Sebaliknya, ANA The Rayhan membuktikan bahawa semangat, persahabatan dan karya yang lahir daripada keikhlasan mampu terus hidup merentasi generasi, sekali gus membuka ruang untuk mereka mencipta satu lagi babak bermakna dalam perjalanan seni tanah air.
Al Fatihah untuk Allahyarham Nordin Jaafar dan Allahyarham Azahari Ahmad, dua figura penting yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan serta kejayaan Raihan.
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply