Alunan lagu-lagu popular Exists bukan sahaja menghangatkan suasana konsert Exists Memento Mori 2.0, malah membawa kira-kira 8,000 penonton mengimbas kembali kenangan dan nostalgia perjalanan muzik kumpulan itu yang mewarnai industri hiburan tanah air sejak lebih tiga dekad lalu.

Daripada bait lirik yang masih segar dalam ingatan hingga melodi yang pernah menjadi siulan ramai, setiap persembahan seakan membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan Exists, sekali gus mencetuskan suasana penuh emosi sepanjang konsert berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini, kelmarin.
Namun, di sebalik kemeriahan pentas dan sorakan ribuan peminat, Exists turut menyediakan ruang istimewa bagi mengenang jasa bekas pengurus mereka, Allahyarham Johan Aziz yang banyak menyumbang kepada kejayaan kumpulan itu.

Penghargaan penuh emosi itu dizahirkan menerusi ucapan vokalisnya, Mamat yang menyifatkan Allahyarham sebagai insan penting dan antara individu bertanggungjawab membawa Exists ke tahap kejayaan yang dikecapi hari ini.
“Pada malam ini (semalam), kami mengenang Johan Aziz. Kalau tiada beliau, kami tidak akan berada di sini.
“Kerana jasa beliau, kami berada di sini. Dia penjaga dan pembimbing kami. Semua ini akan abadi di hati kami,” katanya.
Sementara itu, Ajai berkata, jasa serta pengorbanan Allahyarham akan terus terpahat dalam ingatan mereka meskipun insan yang banyak berjasa itu sudah tiada.
Shah pula berkata, hanya doa mampu dititipkan buat Allahyarham yang banyak menabur bakti sepanjang perjalanan Exists.

“Budi dan jasa Allahyarham tidak mungkin dapat dibalas. Hanya doa yang mengiringi pemergiannya,” katanya.
Suasana konsert bertukar hiba apabila Mamat mengajak kira-kira 8,000 penonton menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah buat Allahyarham sebelum Exists meneruskan persembahan menerusi lagu Nota Di Lautan Sepi.

Momen itu menjadi antara detik paling menyentuh perasaan pada malam berkenaan, memperlihatkan penghargaan bukan sahaja daripada anggota kumpulan, malah turut dikongsi peminat yang hadir menyaksikan persembahan mereka.
Allahyarham Johan menghembuskan nafas terakhir di hospital, baru-baru ini selepas bertarung dengan penyakit kanser.

Konsert anjuran Icon Entertainment itu menyaksikan Exists membawakan 33 lagu yang merangkumi perjalanan muzik mereka, sekali gus menghidupkan kembali memori peminat terhadap karya-karya yang pernah menjadi fenomena dan terus dekat di hati pendengar.
Antara lagu-lagu yang didendangkan oleh Exixts sempena Memento Mori 2.0 termasuklah Rindu Serindu Rindunya, Julia, Buih Jadi Permaidani, Hani Lempengnya Hangus, Nota Di Lautan Sepi, Janji Padamu, Masih terserlah Ayumu, Untukmu Ibu, Percayakan Siti, Rahsia Pohon Cemara, Jesnita, Kapal Terbang Kertas, Mengintai Dari Tirai Kamar, Jesnita, Langkah Seiringan, Bunga, Mama Tolonglah Percaya,Tak Mungkin Berpaling dan Alasanmu.

Untuk konsert kali ini juga, Exists menampilkan pilihan lagu-lagu yang jarang diketengahkan tetapi menjadi favourite peminat tegar Exixts antaranya termasuklah Kembalikan Hatinya, Dari Adik Tercinta, Siapa Selain Aku, Hidupan Fantasi, Usah Tinggal Daku Kekasih, Sebelum terlewat, Hilang Dalam Ramai, Memilih Yang Salah dan Dalam Kenangan.

Lebih daripada sekadar sebuah persembahan muzik, Exists Memento Mori 2.0 menjadi malam penuh nostalgia, penghargaan dan kenangan, mengingatkan bahawa di sebalik setiap kejayaan, ada insan yang pernah berkorban dan memainkan peranan besar dalam membina perjalanan seni sesebuah kumpulan.
Gambar: Kredit Bangsawan Pictures https://www.instagram.com/bangsawanpictures?vrfl=MTVnMGQ5dWFrZ2Jxdg==
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com





Leave a Reply