Pengorbanan seorang sahabat yang sanggup mengetepikan kepentingan sendiri demi insan yang disayangi menjadi antara detik paling menyentuh hati dalam konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra, malam sabtu lalu.

Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, membuktikan betapa bermaknanya sebuah persahabatan apabila sanggup menangguhkan penerbangannya ke Bangkok semata-mata untuk bersama-sama memeriahkan malam istimewa sahabat yang dianggap seperti abang sendiri, Noh Salleh.
Lebih istimewa, kehadiran Aina bukan sekadar sebagai tanda sokongan, sebaliknya turut menghadiahkan persembahan dua buah lagu, Kotak Hati dan Sang Penikam, yang menambahkan lagi warna dan emosi pada konsert berkenaan.

Menurut Noh, Aina sepatutnya sudah berada di Bangkok semalam bagi memenuhi komitmennya menyertai Eurovision Song Contest Asia 2026. Namun, penyanyi itu memilih untuk meluangkan masa bersama-sama beliau sebelum meneruskan perjalanan ke Bangkok.
“Hari ini dia sepatutnya tidak lagi berada di Malaysia kerana perlu berjuang membawa nama negara di Eurovision Song Contest Asia 2026.
“Tetapi saya tahan, kerana konsert ini tidak akan terasa indah tanpa Aina,” katanya ketika membuat persembahan di Idea Live Arena pada Ahad.

Sang Penikam buka lembaran baharu perjalanan seni
Mengimbas persahabatan yang terjalin, vokalis kumpulan Hujan itu mengakui kolaborasi bersama Aina menerusi lagu Sang Penikam 2026 membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka.
Malah, Noh tidak berselindung berkongsi bagaimana karya berkenaan membantu mengembalikan perhatian khalayak terhadap dirinya, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam industri muzik.
“Awak tahu saya bukan artis arus perdana dan pernah dipandang hina oleh netizen. Saya kembali mendapat perhatian netizen selepas menyanyikan lagu Sang Penikam 2026 bersama awak.
“Pintu rezeki itu daripada Tuhan, tetapi kami merasakan perjalanan kerjaya semakin rancak selepas Sang Penikam 2026, sehinggalah saya diberi peluang menjadi juri pertandingan Borneo Rising,” katanya.

Pengakuan itu sekali gus memperlihatkan bagaimana sebuah kolaborasi muzik bukan sekadar menghasilkan karya baharu, tetapi turut mampu menghidupkan kembali perhatian terhadap perjalanan seni seseorang pengkarya.
Noh tidak lupa pengorbanan Aina
Dalam kesempatan sama, Noh turut menyampaikan penghargaan secara terbuka kepada Aina atas segala sokongan, keikhlasan dan pengorbanan yang diberikan sejak awal persahabatan mereka.
Dengan penuh rasa terharu, Noh menyifatkan Aina sebagai insan yang sentiasa memberikan sisi terbaik dirinya, bukan sahaja sebagai seorang sahabat, malah sebagai adik, pemuzik dan manusia.
“Saya hendak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Aina kerana sejak awal kita berkenalan, awak sudah menunjukkan sisi terbaik diri.
“Sebagai seorang adik, pemuzik dan manusia, awak sudah melakukan pelbagai pengorbanan demi saya dan perjalanan muzik Noh Salleh.
“Saya tidak tahu apa lagi yang tidak cukup yang saya dapat daripada Aina. Jadi, saya hendak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Aina,” katanya.
Kata-kata tersebut menjadi antara momen istimewa malam berkenaan, memperlihatkan sisi peribadi seorang pengkarya yang tidak pernah melupakan insan di sebalik perjalanan muziknya.
Bagaimanapun, Aina difahamkan telah berlepas ke Bangkok kira-kira pukul 9 pagi kelmarin bagi meneruskan komitmennya dalam Eurovision Song Contest Asia 2026.

20 lagu, satu perjalanan seni yang penuh jiwa
Sementara itu, konsert anjuran bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment tersebut menyaksikan Noh menghidangkan 20 lagu popular yang mewarnai perjalanan seninya sepanjang bergelar anak seni.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga, Tunggu Sekejap, Renjana, Bila Aku Sudah Tiada, Pagi Yang Gelap, Sang Penikam, Cinta Tak Lama dan Aku Skandal.
Namun, personal favourite penulis terletak pada lagu Sarawak kerana ia kerana ia merupakan penghargaan peribadi yang mendalam daripada Noh Salleh kepada negeri kelahirannya, dipersembahkan dengan susunan muzik yang sofistikated dan sarat dengan emosi.
Bangganya Min jadi Anak Sarawak🥰
Lebih istimewa, deretan karya berkenaan diberi sentuhan berbeza menerusi iringan orkestra pimpinan maestro Aubrey Suwito, sekali gus memberikan dimensi muzik yang lebih luas dan menghidupkan semula keindahan karya-karya Noh dalam susunan yang penuh emosi.
Bagi peminat yang mengikuti perjalanan muzik Noh Salleh, malam tersebut bukan sekadar sebuah konsert yang menghimpunkan lagu-lagu popular, tetapi turut menjadi penghargaan terhadap karya, perjalanan seni dan hubungan persahabatan yang terjalin sepanjang perjalanan itu.
Tahniah Mohammad Noh bin Salleh Sadeli!
Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com




Leave a Reply