Tidak tahan lagi berdepan komen negatif dan ejekan mengenai perubahan fizikal, pelakon Janna Nick mengakui nekad untuk menghentikan perjuangannya mendapatkan zuriat atau Trying To Conceive (TTC).

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 31, berkata keputusan itu dibuat selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang menjalani rawatan kesuburan. Dia kini mahu membuka lembaran baharu dengan memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan berat badan ideal selain menjaga kesihatan diri.

Menerusi perkongsian di Threads, Janna secara terbuka mengumumkan keputusannya untuk berhenti daripada meneruskan usaha TTC.

“Mula hari ini, saat ini. Saya dah putus asa nak TTC.

“Saya secara rasmi nak berhenti perjuangan TTC. Saya akan mula misi baharu untuk kurus,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, pelakon drama Leftenan Zana itu turut menjelaskan perubahan bentuk badannya bukan sesuatu yang disengajakan, sebaliknya kesan sampingan pengambilan ubat hormon sepanjang menjalani rawatan kesuburan.

Janna juga meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pihak yang seolah-olah tidak sensitif apabila menjadikan penampilan fizikalnya sebagai bahan komen dan kritikan.

“Kalau saya gemuk dan tembam sekali pun, awak ke yang peluk cium saya?

“Suami saya elok je puji. Boleh tak berhenti komen fasal bentuk fizikal, saya makan hormon dan sedang TTC.

“Jangan ganggu saya kalau saya tembam, gemuk atau buruk sekali pun,” katanya lagi.

Sebelum ini, Janna pernah meluahkan kemarahan terhadap sebuah portal yang mempersoalkan perubahan fizikalnya sehingga menggambarkan dirinya semakin gemuk dan tembam.

Malah, perjalanan mendapatkan zuriat bukanlah sesuatu yang mudah buat pelakon itu apabila dia pernah mendedahkan pernah menangis sendirian setiap kali didatangi haid tanpa pengetahuan suaminya.

Lebih menyedihkan, Janna sebelum ini turut merayu orang ramai supaya berhenti mengajukan soalan mengenai anak kerana perkara itu cukup memberi kesan kepada emosinya.

Dia juga pernah berkongsi sudah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) selama setahun, namun usaha tersebut masih belum membuahkan hasil.

Janna Nick Terharu Sokongan Peminat

Meskipun melahirkan rasa kecewa untuk meneruskan TTC, namun Janna Nick terharu di atas sokongan para peminat yang membanjiri laman sosialnya dengan kata-kata positif untuk dirinya.

Untuk rekod, Janna mendirikan rumah tangga bersama pelakon Dini Schatzmann pada Jun 2023 dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di pusat peranginan di Langkawi.

Sejak mendirikan rumah tangga, pasangan itu tidak pernah merahsiakan hasrat untuk menimang cahaya mata dan sentiasa mengharapkan kehadiran zuriat dalam kehidupan mereka.

Apa Kata Editor: Apa pun keputusan yang diambil Janna, perjalanan mendapatkan zuriat adalah sesuatu yang cukup peribadi. Sudah tiba masanya masyarakat lebih memahami bahawa perubahan fizikal dan soal anak bukanlah perkara yang wajar dijadikan bahan gurauan atau kritikan.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending