Pelakon Azar Azmi tidak menyangka kehadirannya mencari rezeki bertukar menjadi detik penuh emosi apabila menerima bantuan wang tunai lebih RM35,000 hasil sokongan orang ramai.

Bantuan itu disalurkan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman melalui sesi siaran langsung yang memberi sinar baharu buat Azar yang sebelum ini berdepan kemelut meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya.

Menurut Aliff, Azar hadir menemuinya dengan niat untuk memohon pekerjaan sebagai pembungkus barangan dengan gaji sekitar RM1,700 sebulan, selain elaun kerja lebih masa sebanyak RM300.

Tambahnya lagi, kehadiran pelakon itu bukan untuk meraih simpati, sebaliknya menunjukkan kesungguhan mencari rezeki halal demi meneruskan kelangsungan hidup serta menjana pendapatan untuk keluarganya.

“Dia tidak pernah mengemis atau meminta duit. Dia datang dengan niat mahu bekerja dan ditemuduga sebagai pembungkus sahaja.

“Dia mahu membesarkan anak yang mempunyai masalah kesihatan, selain berhasrat membeli motosikal bagi memudahkan urusan harian,” katanya menerusi siaran langsung tersebut.

Bantuan Orang Ramai

Bantuan yang disalurkan pada sesi tersebut merupakan hasil sokongan orang ramai yang membeli produk sepanjang siaran langsung tersebut.

“Saya beritahu dia, rakyat Malaysia sayang awak. Wang ini bukan milik saya sepenuhnya, tetapi datang daripada mereka yang membeli produk saya,” katanya.

Sementara itu, Azar mengakui terkejut dan tergamam menerima bantuan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Katanya, wang itu akan digunakan untuk menampung keperluan harian anak-anak serta memperbaiki keadaan hidupnya.

“Menggigil tangan saya memegang wang ini. Saya sangat terharu dan berterima kasih. Sudah lama saya tidak mempunyai wang, dan bantuan ini amat besar maknanya,” katanya penuh makna.

Tak Pilih Kerja

Ketika ditanya mengenai tawaran kerja, Azar berkata, dia kini tidak berada dalam posisi untuk terlalu memilih pekerjaan demi memastikan keperluan anaknya terbela.

“Saya memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Apa sahaja kerja yang halal dan berkat, saya terima dengan syukur.

“Saya perlu membeli susu, lampin dan memikirkan kos rawatan jika anak sakit. Semua itu memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.

Aliff Syukri menyalurkan bantuan hasil sokongan orang ramai dalam usaha membantu Azar. Foto TikTok Aliff Syukri

Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 35 turut mendedahkan dia kini tidak mempunyai akaun bank serta akaun media sosial susulan kontroversi yang melanda dirinya dan suaminya itu.

Mac lalu, namanya menjadi perhatian selepas dia dan suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, ditahan polis berhubung kes penipuan membabitkan penjualan tanah kurnia serta urusan darjah kebesaran.

Bagaimanapun, Azar dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan, manakala suaminya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Follow https://lifestylemediahub.com/ untuk pelbagai informasi gaya hidup masa kini.

Kredit: http://www.mediahiburan.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading