Bayangkan, sedang memandu, tetiba-tiba ada kenderaan mengikuti rapat atau mengejar anda dari belakang. Pastinya wujud rasa cemas, takut dan sering berasa terganggu,kan.
Itulah yang dilalui oleh pempengaruh media sosial, Leona setiap kali memandu di jalan raya sehingga anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu meminta jasa baik peminat agar tidak cuba mengejar atau mengikuti rapat kenderaannya jika terserempak di jalan raya.

Rasa Takut & Terganggu
Menurut Leona atau nama lengkapnya Kasih Iris Leona, 24, dia tidak mempunyai masalah sekiranya ada peminat yang mahu mengambil gambarnya dari jauh namun memohon agar menghormati dirinya sebagai pengguna jalan raya dan pemanduannya tidak diganggu atas faktor keselamatan.
“Tolong jangan ikut atau kejar saya di jalan raya. Sudah berlaku beberapa kejadian yang membuatkan saya sangat terganggu dan takut.

Tambah Leona lagi, jika ada terserempak dengannya dan mahu mengambil gambar dari jauh, itu tidak mengapa.
“Tetapi jangan cuba memandu di sebelah saya, turunkan tingkap, melambai dan mengharapkan saya untuk membalasnya. Saya tidak akan berbuat demikian,” katanya dalam Threads.
Detik Cemas
Anak kepada pelakon senior Azhar Sulaiman itu turut berkongsi detik cemas apabila tindakannya cuba mengelak daripada diekori di tengah kesesakan trafik tidak diendahkan individu terbabit, sebaliknya terus mengejar kenderaannya.
“Bayangkan betapa menakutkannya apabila saya jelas sedang cuba melarikan diri daripada anda di tengah kesesakan trafik.
“Tetapi anda muncul di sebelah saya bukan sekali malah tiga kali.

“Tolong jangan buat begitu, sangat menakutkan saya dan membahayakan keselamatan saya,” jelasnya.
Leona mendedahkan sudah memiliki kenderaan sendiri apabila memuat naik foto bersama kereta elektrik (EV), Proton Emas 7 berwarna merah jambu yang memaparkan nombor plat istimewa satu angka yang sememangnya mengundang sesiapa sahaja yang terserempak dengannya di jalan raya.

Sejak memiliki kereta tersebut, ramai peminat yang teruja apabila terserempak dengan Leona, sehingga ada segelintir pihak yang bertindak menegur dan membunyikan hon walaupun ketika berada di atas lebuh raya.
WANITA MEMANDU, WANITA SELAMAT: 10 TIPS PENTING
Berikut beberapa tips keselamatan memandu di jalan raya untuk wanita (sebenarnya berguna untuk semua pemandu
)
1- Pastikan kereta dalam keadaan baik
Semak tayar, minyak enjin, minyak brek, air radiator, wiper dan lampu. Kereta yang baik insya-Allah adalah kereta yang lebih selamat.
2- Jangan pandu ketika terlalu letih / mengantuk
Rehat secukupnya. Jika rasa mengantuk, berhenti rehat. Mengantuk lebih bahaya daripada memandu laju.
3- Elakkan memandu seorang diri lewat malam
Jika perlu keluar juga, beritahu ahli keluarga/lokasi perjalanan. Pastikan ada powerbank, telefon cukup bateri.
4- Simpan barang berharga dengan selamat
Jangan letak beg tangan, laptop atau barang berharga di kerusi hadapan (mudah menarik perhatian penjenayah).
5- Pakai talipingggang keledar
Nampak biasa, tapi ramai ambil ringan. Seatbelt menyelamatkan nyawa.
6- Sentiasa fokus pada jalan
Kurangkan gangguan: jangan main telefon, bermedia sosial, makeup, atau makan ketika memandu.
7- Jaga jarak dengan kenderaan hadapan
Elakkan mengekori secara dekat (tailgating). Bagi ruang untuk brek kecemasan.
8- Guna signal dengan betul & awal
Tunjukkan niat sebelum tukar lorong / membelok. Jangan “last minute”.
9- Faham etika & pemanduan defensif (defensive driving).
Bertenang walaupun ada pemandu kasar. Jangan balas provokasi, jangan berlumba. Kurangkan risiko kemalangan dengan sentiasa berwaspada terhadap bahaya di jalan raya dan menjangkakan tindakan pemandu lain.
10- Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling
Jika rasa diekori, masuk ke kawasan selamat seperti balai polis / tempat awam.
Jangan ambil mudah keadaan jalan. Walaupun lampu isyarat sudah hijau, pastikan tiada kenderaan dari arah yang berlawanan (mengelak kemungkinan mereka yang melanggar lampu merah).
Bonus:
> Simpan emergency kit (lampu suluh, peti/kit rawatan kecemasan, pengecas mudah alih (powerbank), air mineral)
> Pastikan pintu kereta sentiasa terkunci
> Gunakan aplikasi navigasi untuk elak jalan berbahaya





Leave a Reply