SYUKUR ALHAMDULILLAH. Selepas insiden cemas anak kedua Maryam & Ryzal,  Rian terjatuh katil sehingga tidak sedarkan diri, personaliti media sosial, Maryam Younarae tampil berkongsi perkembangan terbaharu anaknya yang berusia 16 bulan itu.

Melalui satu hantaran yang penuh emosi, Maryam meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila tempoh kritikal pemantauan selama 48 jam telah pun berlalu dengan selamat.

 Kejadian tersebut tular semalam mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif di kalangan netizen yang sentiasa mengikuti perkembangan pasangan DurianKimchi ini. Malah Maryam mengakui insiden tersebut adalah antara fasa paling hitam dan menakutkan sepanjang bergelar seorang ibu. 

Detik cemas yang mana anak lelakinya tidak memberikan sebarang respons sejurus terjatuh benar-benar menguji kekuatan diri dan suami, Ryzal Ibrahim.

“Ramai yang pastinya berasa bimbang selepas melihat video dan membaca laporan yang tular. Sebagai seorang ibu, ia merupakan antara detik paling menakutkan yang pernah saya lalui.

“Kami terus membawa Rian ke hospital sejurus selepas kejadian berlaku. Setelah menjalankan pemeriksaan, doktor menasihatkan kami supaya memantau keadaannya dengan teliti selama kira-kira 48 jam sebagai langkah berjaga-jaga,” titipnya.

Rian Kembali Aktif

Maryam mengesahkan bahawa Rian kini bebas daripada sebarang simptom bahaya dan telah kembali aktif seperti sedia kala.

“Alhamdulillah, tempoh pemantauan selama 48 jam itu kini telah berlalu dan Rian berada dalam keadaan yang baik.

“Dia makan seperti biasa, tidur lena, tersenyum, bermain, mengenali ahli keluarga dan berkelakuan seperti dirinya yang biasa. Sepanjang tempoh pemerhatian itu juga, tiada sebarang simptom luar biasa yang ditunjukkan dan kami amat bersyukur atas keadaan tersebut,” titip Maryam.

Insiden ini memberi tamparan hebat buat Maryam dan Ryzal dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu peringatan besar buat mereka untuk lebih berwaspada pada masa hadapan.

“Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa kemalangan yang tidak dijangka boleh berlaku dalam sekelip mata, walaupun kita sudah berusaha sebaik mungkin sebagai ibu bapa. Ia juga membuatkan kami lebih peka dan berhati-hati dalam aspek keselamatan pada masa akan datang.

“Kepada semua yang menghulurkan kata-kata semangat, nasihat, doa dan sokongan, terima kasih dari lubuk hati saya yang paling dalam. Setiap mesej yang diterima memberi ketenangan bukan sahaja kepada saya, malah kepada seluruh keluarga kami.

“Jangan risau. Alhamdulillah, Rian sihat, ceria dan berada dalam keadaan yang baik. Terima kasih sekali lagi atas segala kasih sayang, keprihatinan dan doa yang diberikan,” kongsi Maryam.

Pasangan DurianKimchi ini berkongsi di laman sosial melalui insiden cemas mengejarkan Rian ke hospital selepas tidak sedarkan diri akibat terjatuh ke belakang dari katil.Kelihatan Rina juga ada di tempat duduk belakang kenderaan yang dipandu oleh Ryzal menuju ke hospital terdekat.

Sekadar info, Rian atau nama penuhnya Nik You Rian dilahirkan pada 19 Februari 2025. Maryam dan Ryzal yang mendirikan rumah tangga pada 15 Ogos 2019 memiliki anak sulung bernama Nik You Rina yang kini berusia lima tahun.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading