Ramai yang menganggap makanan tradisional seperti cekodok pisang sekadar hidangan minum petang. Namun bagi Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, produk yang sederhana ini telah membuka ruang perniagaan yang tidak pernah disangkakan sebelum ini.

Pengasas kepada Gula Cakery itu mengakui beliau pada mulanya hanya menghasilkan pelbagai makanan dan pencuci mulut dari rumah kerana minat yang mendalam terhadap dunia masakan.

Namun, permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap cekodok pisang frozen menjadikan produk tersebut antara hidangan yang menjadi pilihan pelanggan tanpa disedari.

Menurut Nor Arieni Adriana, beliau tidak pernah menyangka makanan tradisional yang sering dianggap biasa mampu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Apa yang bermula dengan tempahan kecil daripada kenalan dan pelanggan tetap akhirnya berkembang sehingga memerlukan penggunaan pisang dalam kuantiti yang besar bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Kadang-kadang tempahan yang diterima mencecah penggunaan pisang sehingga berkilogram-kilogram dalam satu-satu masa. Memang tidak sangka cekodok pisang frozen boleh pergi sejauh ini,” katanya.

Keunikan produk yang dihasilkan terletak pada kemudahan penyediaannya. Pelanggan hanya perlu menggoreng cekodok yang telah dibekukan untuk menikmati rasa yang sama seperti cekodok yang baru dibuat.

Faktor ini menjadikan produk tersebut pilihan ramai terutama golongan bekerja dan keluarga yang mahukan sajian cepat serta mudah.

Beroperasi sepenuhnya dari rumah, Nor Arieni membuktikan bahawa seseorang tidak semestinya memiliki kilang atau premis besar untuk memulakan perniagaan makanan. Dengan pengurusan yang baik, konsisten menjaga kualiti dan sentiasa memenuhi kehendak pelanggan, perniagaan kecil juga mampu berkembang secara berperingkat.

Beliau turut berkongsi bahawa kejayaan yang dicapai hari ini datang daripada usaha berterusan dan minat yang mendalam terhadap bidang masakan. Walaupun berdepan cabaran dari segi masa, tenaga dan pengurusan tempahan, semangat untuk menghasilkan produk terbaik sentiasa menjadi pendorong utama.

Meskipun sibuk menguruskan rangkaian restoran di bawah jenama Gula Cakery, Nor Arieni Adriana menjadi inspirasi kepada ramai usahawan kecil yang ingin menjana pendapatan dari rumah.

Beliau membuktikan bahawa tiada yang mustahil untuk berjaya apabila seseorang mempunyai kerajinan, kesungguhan dan minat terhadap apa yang dilakukan.

“Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif, peluang boleh hadir daripada perkara yang paling sederhana.

Bagi saya, cekodok pisang frozen bukan sahaja sekadar produk makanan, malah telah menjadi sumber rezeki yang membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan pada masa hadapan”.

Kejayaan tidak semestinya bermula dengan modal besar. Dengan minat memasak, usaha yang berterusan dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu, produk tradisional seperti cekodok pisang frozen juga mampu menjadi jenama yang mendapat tempat di hati pelanggan serta menjana pendapatan yang lumayan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from Lifestyle Media Hub

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading