Penyanyi, pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim mengakui terkejut apabila watak Datuk Muzaffar yang dibawakannya menerima sambutan luar jangkaan, sekali gus menjadikan drama itu antara naskhah paling diperkatakan ketika ini.

Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa watak lelaki berusia yang dibawakan dalam drama Dendam Seorang Mentua mampu mencetuskan fenomena luar biasa sehingga menjadi kegilaan penonton pelbagai lapisan usia.

“Sejujurnya, saya tidak pernah sangka drama ini dan watak saya akan menjadi tular. Saya sendiri tidak memahami ‘hype’ yang diterima drama ini.

“Ketika menjalani penggambaran pun saya tidak pernah terfikir ia akan menjadi fenomena seperti sekarang.

“Saya terkejut kerana tidak sangka ramai pula yang suka dengan orang tua sejak kebelakangan ini. Saya pun tidak faham, tetapi mungkin mereka menyukai karakter Datuk Muzaffar yang sangat penyayang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single solo terbaharunya berjudul Jiwa & Raga, baru-baru ini.

Mengulas faktor yang mendorongnya menerima tawaran membintangi drama itu, suami kepada Datin Lisa Surihani berkata, dia tertarik dengan keberanian penerbit menampilkan pelakon senior sebagai watak utama.

“Apabila pihak produksi menawarkan watak ini, saya sangka akan membawa watak abang atau bapa kerana secara logiknya itulah watak yang sesuai untuk lelaki berusia 53 tahun.

“Tetapi mereka memberitahu saya akan memegang watak utama. Saya terus bertanya, ‘Gila ke nak jadikan orang tua sebagai hero?’

“Namun, percaturan itu menjadi dan semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT.

“Saya rasa drama ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana belum pernah ada naskhah seperti ini sebelum ini,” katanya.

Jiwa & Raga

Dalam perkembangan lain, Yusry kembali menghangatkan industri muzik tempatan menerusi pelancaran single solo terbaharu berjudul Jiwa & Raga, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

Balada moden ini membuktikan cintanya terhadap muzik masih kekal utuh meskipun sibuk di belakang tabir sebagai pengarah dan penerbit.

Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, lagu Jiwa & Raga hadir sebagai karya balada moden yang sarat dengan emosi, mengangkat tema cinta, pengorbanan dan keikhlasan yang lahir daripada hati.

Dapatkan informasi hiburan dan gaya hidup di http://www.lifestylemediahub.com

Leave a Reply

Trending